Pada tahun 2025, semakin banyak destinasi di peringkat global kian memberi fokus kepada pelancongan mesra muslim dalam memastikan lebih banyak pelancong datang melawat ke sesebuah negara.
Selain pergi ke tempat yang popular atau terlalu biasa seperti template bak kata budak Gen Z, apa kita menerokai tempat menarik yang ‘rare’ dalam masa sama lengkap kemudahan dan restoran yang mesra muslim untuk diterokai oleh anda.
1. Zanzibar, Tanzania

Sebuah pulau yang indah di Lautan Hindi, dikenali dengan pantai berpasir putih, air biru jernih, dan bandar bersejarah Stone Town (Tapak Warisan Dunia UNESCO) yang kaya dengan sejarah perdagangan rempah dan warisan Arab-Afrika.
Anda boleh menikmati pengalaman menyelam dan snorkeling yang hebat, serta peluang untuk meneroka ladang rempah.Bagi mereka yang mementingkan kesejahteraan diri, banyak pusat spa di pulau ini menyediakan kemudahan berasingan untuk lelaki dan wanita.

Majoriti penduduknya adalah Muslim, dengan banyak masjid dan makanan halal yang mudah didapati. Antara makanan yang boleh didapati seperti lempeng nipis yang disumbat pelbagai inti diberi nama Zanzibar Pizza, Urojo iaitu satu hidangan sup pekat yang kaya dengan pelbagai bahan serta Samaki wa Kupaka (Ikan Bakar dengan Sos Kelapa).
2. Dagestan, Rusia

Di sinilah terlahir banyak petinju terbaik yang pernah di dunia, tetapi amat jarang disebut oleh media tentang keunikan ia sebagai destinasi pelancongan.
Terletak di pergunungan Caucasus, Dagestan adalah sebuah wilayah yang masih belum diterokai oleh pelancong. Ia menawarkan landskap gunung yang dramatik, perkampungan purba yang tergantung di tebing, dan budaya yang unik dengan lebih daripada 30 etnik berbeza.

Derbent, salah satu kota tertua di Rusia, mempunyai benteng purba yang menakjubkan. Disebabkan sejarahnya yang panjang dan lokasi persimpangan, Derbent adalah rumah kepada pelbagai kumpulan etnik,menjadikan budayanya sangat kaya dan unik.
Majoriti penduduknya adalah Muslim, jadi makanan halal dan kemudahan Muslim boleh didapati dengan mudah. Masjid-masjid lama juga tersebar di seluruh wilayah.
3. Sarajevo, Bosnia dan Herzegovina

Jauh di tengah-tengah Eropah Tenggara terletaknya bandar Sarajevo. Sarajevo ialah sebuah kota unik yang ramai gambarkan sebagai “tempat Timur bertemu Barat”.
Di samping banyak bangunan keagamaan, jalan-jalan di Sarajevo juga dipenuhi dengan pelbagai muzium, penjual makanan jalanan, dan monumen bersejarah.
Gunung-ganang, sungai, dan hutan di sekelilingnya pula menawarkan banyak peluang untuk pencinta alam meneroka dan menikmati keindahan semula jadi.

Menjadi tempat sejarah Islam yang penting maka ia kaya dengan madrasah, masjid, dan makam tokoh-tokoh Islam. Makanan halal mudah didapati kerana majoriti penduduknya adalah Muslim.
4. Gangwon, Korea Selatan

Gangwon (Gangwon-do) adalah sebuah wilayah di timur laut Korea Selatan yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi yang menakjubkan, terutamanya pada musim sejuk apabila ia diselubungi salji. Selain itu, ia juga mesra Muslim, menjadikannya pilihan yang menarik bagi pengembara dari Malaysia.

Anda boleh terokai keindahan Taman Negara Seoraksan, kunjungi Alpensia Resort, dan nikmati makanan halal Korea yang lazat. Gangwon memang tempat sesuai untuk bercuti yang tenang, tetapi masih ada aktiviti menarik. Ini menjadikannya pilihan ideal untuk pelancong Muslim yang suka alam semula jadi dan budaya.
5. Agra, India

Agra, yang terletak di negeri Uttar Pradesh, India, sememangnya sangat menarik terutamanya kerana ia adalah permata utama dalam “Segi Tiga Emas” pelancongan India (bersama Delhi dan Jaipur). Bandar ini kaya dengan sejarah dan warisan seni bina yang megah, terutamanya dari zaman Empayar Mughal.

Di sinilah terletaknya Taj Mahal yang bukan sekadar makam, ia adalah karya agung seni bina Mughal yang menggabungkan unsur-unsur Islam, Parsi, Uthmaniyyah Turki, dan seni bina India.
Tahukah anda, Agra adalah bandar ke-23 terbesar di India dan Islam adalah agama kedua terbesar di situ maka mudah sangat untuk pelancong Muslim mencari masjid dan makanan halal.
6. Hyogo, Jepun

Hyogo terletak di wilayah Kansai yang cantik dan terkenal dengan sejarah, pemandangan alam, serta budaya. Ibu negerinya, Bandar Kobe, adalah sebuah bandar pelabuhan yang sibuk dengan pelbagai tempat menarik dan makanan mesra Muslim.
Di Hyogo, anda tak perlu risau bab makanan halal, terutama di sekitar bandar Kobe. Banyak restoran mesra Muslim ada di sana, dan kebanyakannya menghidangkan daging lembu Kobe yang memang disahkan Halal.

Selain itu, Hyogo juga terkenal dengan tempat mandian air panas yang menenangkan, istana lama yang penuh sejarah, dan pemandangan gunung yang indah.
Antara tempat menarik yang wajib anda lawati di Hyogo termasuklah Arima Onsen (mata air panas), Runtuhan Istana Takeda, Istana Himeji (Istana Bangau Putih yang terkenal), Gunung Rokko, Ako Onsen (mata air panas juga), dan Muzium Genbudo.
7. Xi’an, China

Xi’an (sebelum ini dikenali sebagai Chang’an) adalah salah satu daripada empat ibu kota purba terbesar di China dan merupakan titik permulaan bagi Laluan Sutera yang bersejarah. Bandar ini adalah khazanah sejarah, budaya, dan juga mempunyai warisan Islam yang kuat, menjadikannya sangat menarik untuk diterokai.

Oleh sebab ramai penduduk Muslim di sini, banyak kemudahan tersedia seperti restoran yang menawarkan pelbagai makanan halal, dan juga masjid.
Nak lagi banyak tip halal ‘travel’ bajet? Komen saja destinasi impian anda!
REV Media Group melalui My Resipi, Sirap Limau dan VOCKET memperkenalkan Halal Travel, kempen yang direka khas untuk membantu pelancong Muslim ke luar negara dengan tenang, selamat dan penuh yakin.
Ia adalah inisiatif menyeluruh yang membawakan panduan makanan halal, waktu solat & arah kiblat, tip perjalanan & keselamatan serta aktiviti halal-friendly yang menarik.
Layari www.myresipi.com/halaltravelmy untuk maklumat lanjut.