Kecoh di media sosial baru-baru ini berkenaan penjualan tablet PerantiSiswa menerusi platform e-dagang. Hal ini menarik perhatian banyak pihak terutamanya kerajaan kerana melihat ia sebagai satu tindakan serius dan melanggar perjanjian yang ditetapkan.
Terbaharu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang menjual semula PerantiSiswa diperoleh mereka menerusi Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia.
Baca Juga:
- Tular Pelajar Kantoi Jual PerantiSiswa, Syed Saddiq Minta Pulangkan Semula Jika Tidak Perlu
- Pelajar Cuba Jual PerantiSiswa Kerana Mahu ‘Upgrade’ Ke iPad Dikritik Netizen
Beliau mengatakan setakat ini terdapat 14 kes penjualan semula PerantiSiswa dikesan di seluruh negara dan pemantauan terhadap perkara itu sedang dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Selain itu, beliau menegaskan tindakan menjual semula peranti itu satu tindakan tidak bertanggungjawab dan kerajaan memandang serius perkara itu. Malah, peranti yang diedarkan turut mempunyai beberapa aplikasi tertentu yang mampu mengesan keberadaan peranti itu sama ada di universiti atau lokasi lain.
Tindakan menjual peranti itu sama seperti melanggar ‘akujanji’ untuk menggunakan peranti berkenaan bagi kegunaan sendiri seperti ditandatangani oleh pemohon ketika menerima peranti itu. Difahamkan ada peranti yang sudah disekat akses penggunaannya selepas berjaya dijejak.
Dalam masa yang sama, K-KOM mengkaji pelaksanaan ‘buy back policy’ bagi penerima PerantiSiswa untuk menjual peranti mereka, sekiranya mereka tidak mahu menggunakan peranti itu lagi. Para penerima dinasihati agar tidak menjual semula tablet yang diterima dan gunakan untuk pembelajaran.