Siapa sahaja yang tidak bosan apabila terpaksa menunggu lebih masa untuk keretapi tiba di stesen yang kita tunggu. Malah, selang masa untuk keretapi berhenti di stesen sebelum ke hentian seterusnya juga memakan masa lebih kurang satu jam demi menunggu ketibaan penumpang bagi memenuhi kerusi yang berada dalam gerabak keretapi.
Namun, lain pula kisahnya di Jepun di mana satu tragedi kemalangan keretapi Amagasaki yang dikendalikan oleh West Japan Railway dilaporkan telah berlaku pada 25 April 2005. Difahamkan, kemalangan tersebut berpunca daripada sikap pemandunya yang terburu-buru memandu keretapi dengan laju hanya kerana ingin menepati masa untuk sampai ke hentian stesen yang seterusnya.
Difahamkan, pemandu keretapi itu hanya terlewat 1 minit 30 saat sahaja untuk sampai ke stesen yang seterusnya. Gara-gara terlalu berdisiplin dalam menepati masa, pemandu berkenaan nekad untuk memandu keretapi dengan kadar kelajuan melebihi 100kph (62mph) berbanding kelajuan pada 30kph seperti yang telah ditetapkan.
Malang tidak berbau, keretapi tersebut kemalangan gara-gara dipandu laju oleh pemandunya. Menurut sumber, pemandu berkenaan dipercayai hilang kawalan dan terlambat untuk menekan pedal brake di satu selekoh landasan yang ‘tajam’.
Nasib sudah tertulis, keretapi tersebut dilaporkan terkeluar daripada landasan lalu merempuh sebuah bangunan rumah pangsapuri yang berdekatan di situ. Seramai 106 orang penumpang terkorban di tempat kejadian manakala seramai 450 orang dilaporkan cedera parah.
Difahamkan individu yang bersalah dalam kes ini bukannya pemandu tersebut. Menurut laporan The Guardian, Osamu Yomomo, timbalan presiden Persatuan Gabungan Pekerja-Pekerja Keretapi Jepun pada ketika itu mendakwa, kemalangan ini juga berpunca disebabkan peraturan pihak pengurusan West Japan Railway yang menekankan budaya kerja ‘tepati masa’ dan ‘mementingkan kecekapan operasi berbanding segala-galanya’.
Tambahnya lagi, para pemandu yang terlewat atau tidak menepati masa semasa menjalankan operasi keretapi ini akan dikenakan hukuman ‘penghinaan’ oleh pihak atasan sebagai pengajaran supaya mereka tidak mengulangi kesalahan yang sama.
Mendukacitakan, mereka juga dipaksa bekerja lebih masa untuk melunaskan tugasan yang luar bidang seperti menyiapkan beberapa laporan bertulis sesudah habis waktu bekerja. Kuasa majikan tiada tandingannya dan peraturan ini sekaligus menyebabkan para pemandu West Japan Railway berasa terlalu takut sehinggakan ‘fobia’ untuk ingkar dengan arahan majikan mereka.
Yomono percaya, tekanan kerja sebegini dan gara-gara hukuman ‘penghinaan’ itu telah memaksa pemandu keretapi Amagasaki, Ryujiro Takami (pada ketika itu berusia 23 tahun) memandu keretapi tersebut dengan laju untuk mengejar masa biarpun pada ketika itu dia hanya terlewat 1 minit 30 saat sebaik sahaja berlepas dari stesen yang sebelumnya.
Disebabkan terlalu ikutkan peraturan ini dan malu akan dihina oleh majikan, Takami akhirnya dilaporkan turut terkorban dalam kejadian malang itu. Mayatnya tersepit bersama korban yang lain di dalam ‘bangkai’ keretapi namun kesemua mayat akhirnya berjaya dikeluarkan tiga hari selepas kejadian.
Baca lagi artikel mengenai budaya kerja ‘Karoshi’ yang menyebabkan kebanyakan rakyat Jepun meninggal dunia menerusi klik pada pautan di bawah.
Realiti Di Sebalik ‘Karoshi’, Budaya Terlebih Kerja Sampai Mati Di Jepun
Budaya ‘Kasar’ Orang Arab, Ini Pengalaman Aku Sepanjang Bekerja Di Sana
Bekas Pekerja Kongsi Budaya Kerja Tidak Sihat Sepanjang Di Tesla