Pemain sayap skuad kebangsaan Jepun, Kaoru Mitoma tetap merendah diri selepas pasukannya mencatat kemenangan ke atas Indonesia dan beliau diserang di laman media sosial Instagram.

Skuad Samurai Blue mencatat kemenangan 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Satdium Gelora Bung Karno dimana jaringan disumbangkan oleh Justin Hubner (gol sendiri), Takumi Minamino, Hidemasa Morita dan Yukinari Sugawara.

Baca Juga:

Mitoma tetap merendah diri dimana beliau menganggap Indonesia mampu untuk menghadirkan ancaman kepada pasukannya terutamanya pada separuh masa pertama.

“Saat kami menekan pada separuh masa pertama, mereka (Indonesia) mampu untuk membuat hantaran jauh yang baik dan kami beberapa kali berdepan kesukaran untuk menghadapi geraka ini.

“Kami boleh tewas dengan keputusan sama. Jadi saya fikir kami perlu beraksi dengan lebih rendah diri,” katanya.

Selepas perlawanan, segelintir netizen Indonesia yang tidak bertanggungjawab bertindak melakukan serangan siber terhadap Kaoru Mitoma. Serangan itu dilakukan selepas Mitoma melakukan kekasaran dalam usahanya untuk menghalang larian Kevin Diks menuju ke kawasan penalti Jepun.

Pemain yang membuat penampilan pertama buat skuad kebangsaan Indonesia itu kemudiannya dikeluarkan pada minit ke-41 dan digantikan dengan Sandy Walsh.

Keadaan itu jelas membuatkan segelintir peminat Indonesia berang dengan keadaan tersebut dan menganggap Kaoru Mitoma sebagai penyebab kecederaan lutut dialami Kevin Diks.

Sehubungan dengan itu, ia menjurus kepada berduyun-duyun peminat pasukan Indonesia bertindak ke laman Instagram milik pemain Brighton tersebut.

Tinjauan di laman X Gila Bola menyaksikan rata-rata mengutuk tindakan yang dilakukan oleh segelintir peminat ‘tanpa pedoman’ itu.

Ada juga yang meluahkan rasa malu atas sikap ditunjukkan oleh segelintir peminat Indonesia di alam maya itu.

Sebelum ini, pengadil perlawanan Indonesia menentang Bahrain iaitu Ahmed Al Kaf serta skuad kebangsaan Bahrain turut menjadi mangsa serangan siber peminat negara jiran tersebut kerana beranggapan Al Kaf tidak mengadili perlawanan dengan baik.

Skuad Bahrain telah menghadapi pelbagai penghinaan dan ancaman yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pemain dan kakitangan.