Bila kecoh makanan viral di media sosial, orang ramai pasti tercari-cari ulasan dari seorang pempengaruh makanan di TikTok kerana dijadikan sebagai rujukan.

Bagaimanapun, seorang reviewer lain telah memuat naik meluahkan rasa ketidak puasan hati dengan pempengaruh terbabit kerana dituduh ulasannya hanya menjahanamkan atau perosak bisnes peniaga makanan di luar sana.

Menurut lelaki itu, dia sedia melawati kedai yang pernah dicuba oleh pempengaruh itu namun kini sudah lengang ekoran telah diberi ulasan negatif.

“Apebenda ko buat, ko nak tolong peniaga ke nak menjahanamkan peniaga,” luahnya.

Dia bukan sahaja membidas pempengaruh itu, malah memainkan sentimen perkauman di dalam hujahnya seolah-olah tidak meraikan pandangan bangsa lain.

Susulan itu, tuan badan yang dikenali sebagai Jason langsung membalas video berkenaan dengan menangkis segala tohmahan dalam mempertahankan imej dan kredibilitinya.

Dituduh kejujurannya telah menjadi punca sesebuah kedai makan menjadi kosong, dia menegaskan bahawa ulasan yang diberikan itu apa yang dirasainya dan dipersetujui oleh orang ramai.

Malah, dia percaya jika kalau kedai makan itu sememangnya sedap, buatlah ulasan negatif sekalipun tetap akan dipenuhi dengan pelanggan.

Menjawab kenyataan tidak perlu memuat naik video jika makanan tidak sedap, Jason berpendapat yang dirinya hanyalah pengguna biasa dan pencipta konten yang berkongsi pendapat terhadap makanan yang dijual dan menentukan sama ada ia berbaloi atau sebaliknya.

“Kalau ikut logik awak, awak menjangkakan semua pengguna biasa tidak boleh memuat naik sebarang video kalau tidak sedap, jika semua orang berfikiran bisnes, seperti awak di dalam video, siapa yang akan menjadi pengguna biasa untuk kesiankan duit susah payah dari kerja kita?” soalnya.

Dia juga tidak bersetuju dengan kenyataan yang meminta orang tidak memberi ulasan jika tidak dijemput oleh pemilik kedai walhal makanan dan minuman dijual kepada orang awam.

Jadi, apa salahnya untuk seseorang memberi ulasan yang jujur apa yang dirasai tentang makanan yang dijual secara terbuka melainkan bisnes itu dibuat secara tertutup.

Tambahnya, sebab dia memberikan rating kepada makanan yang dicuba adalah sesuatu yang normal dan ia juga merupakan hak kebebasan suara yang diamalkan di negara ini.

Baginya, walaupun seseorang itu chef tersohor sekalipun, tidak bermaksud masakan mereka akan sentiasa sedap sehingga orang biasa tidak boleh mengkritik atau memberi pendapat.

Dia juga menjelaskan menjadi perkara biasa buat para reviewer memberikan pendapat terhadap makanan dan akan ada pujian atau pun kritikan menerusinya.

Jika sentiasa memberikan komen yang positif, dia merasakan itu sudah menjadi satu promosi sahaja dan bukan dikira sebagai ulasan biasa.

Dia sekali lagi menegaskan pendirian peribadinya yang akan bersikap jujur dalam ulasannya dan akan menyatakan rasa sesuatu itu makanan sedap atau tidak tanpa sebarang prejudis.