Dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka akan lebih tinggi untuk tahun 2023 berbanding tahun sebelumnya, lapor Malay Mail.
Menurut sumber yang dipercayai, simpanan konvensional dijangka menerima dividen KWSP melebihi 5.8 peratus, mengatasi kadar 5.5 peratus yang diumumkan pada 2022.
Bagi simpanan shariah, kadar dividen KWSP dijangka berada dalam lingkungan 5.4 peratus hingga 5.6 peratus, sedikit peningkatan berbanding 5.4 peratus tahun lepas.

“Kadar ini mungkin yang tertinggi dalam tempoh tiga tahun kebelakangan. Purata kadar dividen KWSP untuk 10 tahun lepas adalah sekitar 6 peratus. Apa pun, ia pasti lebih tinggi daripada tahun lalu,” kata sumber tersebut.
Pada tahun 2022, jumlah pembayaran dividen KWSP mencecah RM50.33 bilion untuk simpanan konvensional dan RM7.48 bilion untuk simpanan shariah.
KWSP mempunyai kira-kira 16 juta ahli, dengan 8.5 juta daripadanya aktif membuat caruman.
Ramai Makin Celik Kewangan
Laporan KWSP sebelum ini memberi gambaran bahawa kebanyakan ahli sudah mula sedar pentingnya simpanan selepas bersara.
Menurut laporan The Vocket sebelum ini, difahamkan bahawa ahli KWSP telah membuat simpanan secara sukarela kira-kira RM13 bilion pada tahun lepas, yang menurut seorang pegawai menunjukkan keyakinan orang ramai untuk menyimpan wang mereka dengan badan berkanun itu.
Menurut pegawai itu, lebih 1.2 juta ahli memilih untuk menyimpan wang mereka di KWSP berbanding bank mungkin kerana kadar dividen yang lebih tinggi dan konsisten sejak beberapa dekad yang lalu.
Caruman itu turut melibatkan 400,000 ahli melalui skim i-Saraan, sumbangan sukarela untuk mereka yang bekerja sendiri dan pekerja kasual tanpa pendapatan tetap.
Pencarum di bawah i-Saraan akan menerima insentif khas sebanyak 20% sehingga maksimum RM500 daripada kerajaan untuk jumlah sumbangan sukarela mereka.
Pegawai itu berkata 70% ahli tidak menyentuh dana mereka dalam Akaun Fleksibel (Akaun 3), yang membolehkan mereka mengeluarkan sebarang jumlah simpanan yang dimiliki pada bila-bila masa.
Kira-kira tiga juta ahli yang telah mencecah 55 tahun dan layak untuk mengeluarkan keseluruhan simpanan mereka masih menyimpan wang mereka dengan KWSP.
“Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mengambil serius mengenai simpanan mereka. RM13 bilion dalam setahun adalah permulaan yang baik, dan kesedaran tentang kelebihan menyimpan secara sukarela dengan kami semakin meningkat,” katanya.