India digegarkan menyayat hati dengan insiden keganasan terhadap wanita, kali ini melibatkan seorang doktor berusia 31 tahun yang ditemui mati di sebuah hospital kerajaan di Kolkata.
Pembunuhan kejam ini telah mencetuskan kemarahan dan protes di seluruh negara, dengan doktor dan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat turun ke jalanan untuk menuntut keadilan.
Menurut Al Jazeera, mayat doktor tersebut ditemui pada 9 Ogos di bilik seminar di kolej perubatan tempat beliau bekerja, dipercayai selepas beliau berehat seketika semasa bertugas dalam syif 36 jam.
Autopsi yang dilakukan mengesahkan bahawa beliau telah menjadi mangsa serangan seksual yang kejam.
Dalam petisyen yang dikemukakan ke mahkamah, ibu bapa mangsa menyatakan kebimbangan bahawa anak mereka mungkin telah dirogol secara beramai-ramai.
Susulan insiden ini, seorang lelaki yang bekerja di hospital tersebut telah ditahan, namun tindakan pihak polis Kolkata mengendalikan kes ini telah menimbulkan kemarahan orang ramai.
Rasa tidak puas hati terhadap cara kes ini ditangani memaksa Mahkamah Tinggi Calcutta untuk memindahkan siasatan kepada agensi penyiasatan terkemuka India, Biro Penyiasatan Pusat (CBI), dalam usaha untuk mengembalikan keyakinan awam.
Di Kolkata, ribuan orang menghadiri perhimpunan dengan lilin sebagai tanda solidariti.
Salah satu sepanduk yang dipegang oleh seorang peserta protes berbunyi, “Tangan yang merawat tidak sepatutnya berdarah.”
Sementara di ibu negara, New Delhi, para doktor mengangkat sepanduk bertulis “Cukup sudah,” menuntut tindakan tegas terhadap keganasan seksual yang berleluasa di India.
Seruan untuk keadilan ini bukan sahaja datang daripada doktor dan pekerja kesihatan, tetapi turut disertai oleh puluhan ribu rakyat biasa dari seluruh negara.
Mereka bukan sahaja menuntut hukuman yang berat terhadap pelaku, malah menyeru kepada reformasi besar-besaran dalam menangani jenayah seksual di India.
Keganasan seksual terhadap wanita merupakan isu yang amat serius di India.
Statistik pada tahun 2022 menunjukkan purata hampir 90 kes rogol dilaporkan setiap hari di negara yang mempunyai populasi seramai 1.4 bilion orang.
Meskipun terdapat undang-undang yang lebih ketat dan kempen kesedaran yang lebih giat, keganasan terhadap wanita masih terus berlaku dengan kadar yang membimbangkan.
Insiden terbaru ini, yang berlaku di dalam institusi yang sepatutnya menjadi tempat selamat untuk menyelamatkan nyawa, sekali lagi menonjolkan betapa kritikalnya isu ini dan keperluan mendesak untuk perubahan.