Filipina kini berdepan dengan episod drama politik panas apabila Sara Duterte, Timbalan Presiden Filipina dan anak kepada bekas Presiden Rodrigo Duterte, melontarkan ancaman bunuh terhadap Presiden Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr, isterinya Liza Araneta, serta Ketua Parlimen Filipina, Martin Romualdez.
Dalam satu sidang media yang sarat dengan kata-kata makian pada malam Jumaat lalu, Sara secara terang-terangan memberi amaran bahawa jika dia dibunuh, tiga individu ini juga akan mati.
“Aku telah bercakap dengan seseorang dalam pasukan keselamatanku. Aku berkata, jika aku mati dibunuh, bunuh BBM (Bongbong Marcos), isterinya Liza, dan Martin Romualdez. Ini bukan jenaka,” tegas Sara.
Menurut laporan CNN, ancaman ini datang selepas satu khabar angin bertiup kencang mendakwa bahawa dirinya dalam bahaya.
Bagaimanapun, Sara enggan memberi butiran lanjut tentang siapa yang merancang pembunuhannya.
Beliau menyebut bahawa dia telah mengarahkan seorang pengawal peribadinya untuk “tidak berhenti sehingga mereka bertiga ini dibunuh.”
Konflik di antara dua keluarga paling berkuasa di Filipina ini bukanlah sesuatu yang baru.
Pada awal tahun ini, Rodrigo Duterte menuduh Marcos Jr sebagai seorang penagih dadah, tuduhan yang disambut dengan gelak ketawa oleh Marcos yang membalas dengan menyebut Duterte sebagai “pecandu ubat keras.”
Walaupun kedua-dua tuduhan ini tidak disokong dengan bukti, ia mencerminkan bahawa wujud satu perselisihan kuasa di antara dua keluarga paling berpengaruh dalam dunia politik Filipina.
Martin Romualdez, yang turut menjadi sasaran ancaman Sara, adalah sepupu kepada Marcos Jr.
Pengumuman Sara Duterte ini mencetuskan pelbagai reaksi dari rakyat Filipina.
Ada yang menyokong keberaniannya, manakala yang lain mengecam tindakannya yang dianggap tidak profesional dan berbahaya.
Dengan latar belakang ketegangan politik yang semakin meningkat, ancaman ini boleh membawa kepada ketidakstabilan lebih besar di Filipina.
Pemerhati politik menyatakan bahawa situasi ini mungkin merosakkan imej pentadbiran Marcos Jr, sekaligus melemahkan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi negara tersebut.
Dalam masa yang sama, ramai yang melihat tindakan Sara sebagai strategi untuk mengalihkan perhatian daripada isu-isu dalaman lain, seperti tuduhan korupsi.