Agak lama sudah tidak kedengaran menu nanchos yang dahulunya popular bak goreng pisang panas sehinggakan hampir setiap kawasan ada versi tersendiri.

Sehinggalah baru-baru ini ada seorang penjual nanchos viral berkongsi keadaan terkini penjualan makanannya yang tampak jauh berbeza dengan suatu ketika dahulu.

Di dalam video seringkas 19 saat itu, dia memperlihatkan sewaktu kedainya jadi tular yang mana dilimpahi pelanggan sepanjang jalan dan sanggup menghadap hujan lebat demi mendapatkan menu nanchos loaded di kedainya.

Namun, kini hanya ditemani kereta yang parkir di kawasan itu tanpa ada kelibat pelanggan pada saat berkenaan. Difahamkan penjual membuka kedai pada setiap hari pada pukul 9 malam sehinggalah ia habus di Waterfront Pulau Kambing di Pulau Pinang.

Dari kapsyen video, boleh disimpulkan si penjual mahu berkongsi rasa sedih apabila bisnesnya yang dahulu cukup ramai pelanggan sanggup beratur kini hanya tinggal kenangan yang terpahat di hatinya.

@nachos.loaded.ganu

masa viral vs skarang 🥹🥹

♬ original sound – Nachos Loaded Ganu – Nachos Loaded Ganu

Video yang dimuat naik tersebut langsung menjadi perhatian netizen dan menerima pelbagai reaksi menerusinya.

Sebahagian netizen berkongsi pandangan dengan menyatakan sesuatu bisnes yang berpaksi kepada hype semata-mata sukar dapat kekalkan pelanggan yang ramai kerana dikira bermusim sahaja. Jika kalau sudah habis musimnya, maka pelanggan akan mula mencari makanan trending yang lain pula untuk menjadi yang terawal dan mengikuti arus media sosial.

Ada yang memberi saranan kepada penjual untuk menukar menu yang lebih dekat dengan warga lokal dan tidak dimamah zaman berbanding bergantung dengan menu-menu hype sebegini. Kalau benar minat sekalipun, boleh buktikan dengan menawarkan ia dengan rasa yang lazat kemudian barulah mendapat pelanggan yang setia selepas itu.

Malah, ada yang merasakan harga yang mahal juga menjadi faktor mengapa orang tidak membeli lagi apatah lagi dengan harga jualan lebih RM10 sudah boleh mendapatkan makanan lain yang jauh lebih berbaloi atau nasi berlauk yang mengenyangkan.