Menjadi lumrah apabila mendapat markah biasa-biasa di dalam pelajaran, kita akan merasa ‘down’ kerana tidak dapat mencapai impian yang dimahukan.

Namun, segelintir individu berjaya bangkit dari kejatuhan dan menjadi insan yang luar biasa dengan membuktikan kemampuan mendapat keputusan cemerlang di menara gading pula.

Inilah kisah inspiratif Zul Hakim Zulhaimi, anak Malaysia baru-baru ini telah berjaya menamatkan pengajian dan bergraduasi dari Purdue University, West Lafayette, Indiana, sebuah universiti yang terkenal di peringkat dunia terutamanya dalam bidang kejuruteraan.

Dulu SPM Dapat 2A, Anak Malaysia Ini Gegarkan Indiana Dengan Anugerah Universiti Tertinggi
Sumber Gambar: MARA USA

Selain itu, bukan satu sijil tetapi dua sekaligus telah dibolot oleh beliau yang merangkumi jurusan “Mechatronics Engineering Technology” dan “Automation & Systems Integration Engineering Technology”.

Menariknya, beliau juga sebenarnya berjaya menamatkan pengajian jauh lebih awal daripada garis masa yang ditetapkan iaitu pada semester Spring 2025 berbanding semester Fall 2025 seperti yang telah ditawarkan oleh MARA.

Permulaan yang sukar

Namun perjalanan beliau tidaklah semudah yang disangka kerana dia bermula dengan keputusan SPM yang dikira cukup makan malahan berlainan aliran yang diambil dalam menceburi jurusan jurutera.

“Bermula sebagai pelajar aliran sastera dengan hanya 2A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan semua permohonan beliau untuk menyambung pengajian ke universiti awam tidak berjaya, beliau mengambil langkah untuk menyambung pengajian di German-Malaysian Institute (GMI) pada tahun 2018.

“Walaupun datang dari latar belakang bukan aliran sains, beliau nekad mencabar diri dalam Diploma Kejuruteraan Teknologi Mekatronik, iaitu bidang yang penuh berliku dan mencabar. Usaha gigih itu membuahkan hasil apabila beliau berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan yang cemerlang pada tahun 2021,” tulis hantaran MARA USA.

Seterusnya, beliau menerima tajaan MARA untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Pilihan Zul Hakim jatuh kepada Purdue University di Amerika Syarikat, sebuah universiti terkemuka dalam bidang kejuruteraan.

Dengan kemudahan bertaraf dunia dan tenaga pengajar yang hebat, beliau yakin ini adalah tempat terbaik untuk mengembangkan potensi dirinya.

Dulu SPM Dapat 2A, Anak Malaysia Ini Gegarkan Indiana Dengan Anugerah Universiti Tertinggi
Sumber Gambar: MARA USA

Sepanjang tempoh pengajiannya di Purdue University, Zul Hakim telah terlibat secara aktif dalam pelbagai projek berimpak tinggi. Antaranya, beliau menyumbang kepada pembangunan prototaip exoskeleton pintar yang dilengkapi sensor daya dan sudut, bertujuan untuk aplikasi pembelajaran dan industri. Beliau juga memikul tanggungjawab sebagai pembantu pengajar (Teaching Assistant) untuk kursus Lean Six Sigma, serta menjadi wakil kumpulan untuk membentangkan hasil inovasi di Tech Expo Purdue kepada pihak industri dan akademik.

Dengan penuh dedikasi, Zul Hakim berjaya menamatkan pengajian lebih awal pada semester Spring 2025 dan dianugerahkan Golden Honor Cord, iaitu lambang kecemerlangan akademik tertinggi.

Semoga kisah kejayaan beliau menjadi inspirasi dan bukti bahawa permulaan yang sederhana bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan yang luar biasa. Dengan semangat, kesungguhan, dan keyakinan diri, masa depan pasti boleh diubah.