Seorang pengurus syarikat dari China terpaksa berputih mata apabila terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM2.6 juta dalam urus niaga palsu yang melibatkan import durian Musang King beku dari Malaysia ke China.
Kes yang kini disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia ini dikatakan membabitkan penggunaan ‘Approved Permit’ (AP), laporĀ Malay Mail.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar mendedahkan kepada media bahawa mangsa seorang warga China telah membuat laporan polis berhubung kes ini ke atas seorang suspek yang juga warga China.
Suspek dikatakan telah memperdaya mangsa dengan mendakwa dia boleh menggunakan AP yang kononnya dimiliki oleh sebuah syarikat eksport buah di Malaysia untuk mengimport durian Musang King beku dari Malaysia ke China.
Menurut laporan terbabit, mangsa dikatakan ada bertemu dengan suspek di China dan bersetuju untuk membeli 3,840 karton durian beku Musang King dengan harga keseluruhan RM2.6 juta.
Pada 5 Julai lalu, mangsa membuat pemindahan wang ke akaun bank sebuah syarikat berdaftar di Malaysia, namun durian yang sepatutnya tiba selepas sebulan membuat pembayaran tidak pernah sampai.
Mangsa juga cuba untuk menghubungi suspek, tetapi usahanya gagal dan dia meminta bantuan rakannya di Malaysia untuk menyiasat status AP tersebut yang akhirnya membawa kepada penemuan bahawa syarikat yang memegang AP tersebut tidak pernah berurusan dengan syarikat milik mangsa.
Mangsa kemudiannya terbang ke Malaysia untuk membuat laporan polis kerana akaun bank yang digunakan oleh suspek adalah milik sebuah syarikat yang berdaftar di negara ini.
Kes ini kini dalam siasatan pihak berkuasa di bawah Seksyen 420 dan 411 Kanun Keseksaan.