Eddy Badry tampil mempertahankan bahawa dia adalah pengasas sebenar XPDC dan Real XPDC. Dia turut mendakwa dia orang yang bertanggungjawab mencungkil bakat Mael.
Eddy Badry menepis kritikan daripada pengurus XPDC KPY sebelum ini, Bro Yazid yang mendakwa hanya 2 kumpulan dibenarkan menggunakan nama XPDC iaitu XPDC KPY dan XPDC Militia – dengan izin Life Records.
Selebih itu Yazid menganggap hanya XPDC palsu yang mengambil kesempatan menggunakan nama XPDC.
Eddy Badry mengecam Yazid dan menuduh dia kuat temberang. Kerana Eddy Badry mendakwa dia berhak ke atas nama XPDC selaku pengasas.
Tidak lama kemudian, Azmey pula tampil mendakwa telah menubuhkan Real XPDC bersama arwah Mael tampil memberikan kenyataan.
Dipetik dari Astro Awani, Azmey berkata: “Jika berasakan bahawa mereka bukan XPDC tetapi adalah Real XPDC seperti yang didakwa, mereka perlu tampil memberikan dokumen dan bukti untuk membolehkan ia dihalalkan dan tidak menyalahi undang-undang mahupun hak cipta sesiapa.”
Azmey mengecam pihak yang menggunakan nama Real XPDC yang kini semakin menjadi jadi kegilaan mereka menggunakan nama XPDC dan juga menyanyikan lagu lagu XPDC dalam persembahan mereka.
Tindakan mereka adalah menyalahi undang undang hak cipta dan penipuan bermotifkan keuntungan semata mata, menurut Azmey.
Azmey tidak banyak cakap, dia meminta pihak tersebut menunjukkan bukti pemilikan mereka ke atas Real XPDC. Real XPDC pernah didaftarkan satu ketika dahulu oleh Azmey dan Mael.
Namun tidak lama selepas itu nama itu tidak boleh digunakan kerana melanggar akta hak cipta. Dan mereka menukarkannya kepada Real X.
Azmey menolak sama sekali tuntutan Eddy Badry bahawa dia adalah pengasas Real XPDC. Kalau betul dia pengasas, dia harus mengemukakan buktinya.
Azmey menambah: “Tidak benar sama sekali. Siapa mereka ini? Senang-senang nak mengaku Real XPDC adalah hak mereka. Apa buktinya? Boleh sertakan sijil pemilikan apa-apa?
“Real XPDC Production (M) Sdn. Bhd. sebenarnya telah didaftarkan secara rasmi oleh kami bersama Mael pada 30 April 1998 dan diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965.
“Ketika itu ia ditubuhkan dengan tujuan untuk meneruskan kerjaya Mael dalam industri muzik tanah air selepas keluar dari XPDC.
“Real XPDC selepas itu telah menandatangani kontrak dengan pihak EMI Music pada 2002 dan telah mengeluarkan album pada awal 2004,” jelasnya kepada Astro AWANI lagi.
Azmey lantas memberitahu peminat bahawa, mereka yang mendakwa mereka adalah Real XPDC sebenarnya bukan ‘real’ selagi mereka tiada bukti dengan dokumen.
Mereka tiada kaitan langsung dengan Real XPDC yang asal. Kenyataan Azmey ini selari dengan Yazid yang menyatakan bahawa Real XPDC yang asal milik Mael dan Azmey dan ianya sudah lama tidak aktif.
Eddy Badry kemudian membidas kenyataan Azmey tersebut dengan menyatakan bahawa dirinya kekal pengasas XPDC, Real dan Real XPDC.
Sambil mendakwa ramai rockers nama besar yang tahu akan perkara itu dan cuma tidak mahu masuk campur.
Eddy menerusi saluran facebook rasminya berkata:
“Makin hari makin panas isu [nama] Real XPDC, selagi kita tidak mendapat injunction [dari mahkamah] menghalang kita daripada menggunakan nama Real XPDC, selagi itu akan menggunakan nama Real XPDC.
“Sekiranya mereka mendapat surat perintah mahkamah, maka kita akur.
“Bukan senang ye, untuk menaikkan nama sesuatu band yang memerlukan pelbagai usaha. Yang paling utama adalah wang ringgit yang kita belanjakan, kemudian usaha, dan kita juga harus tahan dengan caci maki orang yang tidak tahu menahu tentang perkara yang sebenar.
“Saya ada bukti bahawa saya adalah orang yang menubuhkan Real XPDC. Sebelum itu juga kita ada bukti yang mengatakan bahawa saya yang menubuhkan XPDC.
“Tanpa saya, tak ada Mael, tanpa Mael tak ada XPDC. Itu semua ada pada saya dan bukti itu ada dalam pelbagai bentuk. InsyaAllah, kita akan kemukakan bukti bukti itu jika diperlukan. Namun bukan tunjuk kat media sosial, kita akan kemukakan kat mahkamah la ya.
“Jadi XPDC sebenar ataupun The Real XPDC adalah band yang sama.”
“Tak payah risau, sebab ramai otai otai dalam kumpulan rock kenal dengan nama saya dan tahu perkara sebenar. Cuma mereka hanya berdiam diri.”