Bila sebut tentang kartun atau animasi, pasti ia sinonim dengan kanak-kanak sahaja kan? Tetapi percayalah, animasi ketika ini sudah berevolusi di mana yang dewasa pun turut sama boleh enjoy!
Ini dibuktikan dengan filem Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) yang sudah ditayangkan di pawagam sejak Khamis dan mendapat respons positif daripada semua yang sudah menonton.
Daripada ulasan kritis dan komen penonton awal, ramai yang puji jalan cerita yang penuh plot twist, aksi pergaduhan yang epik, lawak sempoi dan juga elemen visual yang penuh local flavour.
Jom kita check out fakta-fakta menarik pasal EATM2 yang menjadikannya EATM2 filem WAJIB tonton tahun ini!
1. Jalan Cerita Penuh emosi
Ejen Ali The Movie 2 bukan sekadar animasi aksi dan komedi biasa, filem Ini bermain dengan emosi kita sebagai penonton melalui pembinaan watak utama Ejen Ali dengan ejen-ejen lain, kawan-kawan dan juga ahli keluarga. Setiap watak, tak kira jahat atau baik ada motif dan masalah peribadi mereka sendiri, yang kita sendiri mungkin pernah lalui dalam hidup kita.
Watak-watak yang realistik penting untuk membina hubungan yang dinamik dalam filem ini, dan hasilnya, filem ini penuh dengan babak yang dramatik yang lebih mendalam, menyentuh jiwa dan bermakna.
2. Lima Tahun Persediaan Untuk ‘Masak’ Ejen Ali The Movie 2
Proses penulisan Ejen Ali The Movie 2 ambil masa lebih lima tahun, bukan sebab penulis seronok sendiri, tapi masa lama ini diperlukan untuk menyatukan jalan cerita filem ini dengan plot point yang diketengahkan dalam siri TV Ejen Ali dan filem pertama dulu.
Asalnya, filem kedua ini sepatutnya menyusul selepas filem pertama pecah panggung, namun situasi pandemik yang melanda dunia serta penutupan operasi pawagam menangguhkan perancangannya.
Pasukan WAU Animation bertukar fokus untuk menghasilkan siri TV Musim 3 sewaktu tempoh pandemik supaya peminat setia Ejen Ali masih disajikan konten yang segar. Perubahan ini, terutama dari segi perkembangan watak dan dunia Ejen Ali, menuntut penyesuaian besar dalam skrip filem.
Penulis terpaksa menyusun semula plot penting agar filem kedua ini bukan sekadar sambungan, tetapi juga terasa segar dan selari dengan pengembangan diri dan dunia Ali.
3. Menulis Filem Bukan Sekadar Mengarang Ayat
Pengarah EATM2, Usamah Zaid Yasin, turut menggalas tugas sebagai penulis skrip Ejen Ali dari musim pertama lagi. Dia mengakui yang menulis dari kosong jauh lebih mencabar daripada yang disangka.
“Pengalaman ini membuka mata saya dan saya sedar menjadi penulis sebenar bukan sekadar memberi maklum balas atau melakukan suntingan terhadap idea yang sedia ada.
“Ia memerlukan keupayaan untuk membina naratif yang berlapis, membentuk perjalanan watak yang meyakinkan dan mencipta emosi yang mampu menyentuh jiwa penonton. Dari situ, saya benar-benar menghargai seni penulisan sebagai tulang belakang kepada kejayaan sesebuah cerita,” katanya.
4. Pasukan Produksi Berpengalaman dan Penuh Jiwa
Pasukan di sebalik Ejen Ali The Movie 2 bukan calang-calang, mereka ada pengalaman bertahun-tahun dalam industri animasi, lengkap dengan jatuh bangun yang membentuk kematangan mereka. Ejen Ali bagaikan cinta pertama, sebuah karya yang mereka lahirkan dengan sepenuh hati dan visi.
Prosesnya bukan mudah; setiap adegan, emosi dan jalan cerita diolah dengan teliti untuk memastikan ia bukan sekadar hiburan ringan, tetapi karya yang bermakna. Gabungan kemahiran, pengalaman dan jiwa inilah yang menjadikan EATM2 antara filem animasi tempatan terbaik yang pernah dihasilkan.
5. Kualiti Upgrade Walaupun Banyak Kekangan
Akibat pandemik dan cabaran ekonomi, WAU Animation terpaksa mengurangkan tenaga kerja dari hampir 100 orang kepada 60. Namun disebabkan passion tinggi mereka sebagai pengkarya animasi, mereka tekad untuk memastikan aspek visual filem terbaru ni dinaik taraf lagi berbanding filem terdahulu.
Dengan sumber tenaga kerja terhad, WAU mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan pekerja bebas dan studio luar termasuk dari Indonesia. Hasilnya boleh kita lihat dalam kejayaan WAU untuk menghasilkan filem penuh aksi yang penuh warna-warni dan pergerakan visual yang mempesonakan.
6. Keberanian Berkarya di Luar Zon Selesa
Bila Ejen Ali mula diperkenalkan ke pentas antarabangsa, pasukan WAU Animation diberitahu bahawa konsep siri panjang tak sesuai untuk kanak-kanak, kononnya mereka hanya mahu cerita ringkas dan mudah hadam. Tapi pasukan ini berani menolak pandangan itu.
Mereka memilih jalan yang lebih mencabar, mengambil inspirasi daripada Dragon Ball dan Avatar: The Last Airbender, untuk mencipta jalan cerita yang berlapis, penuh emosi, dan mampu berkembang bersama penonton tak kira umur.
Ejen Ali The Movie 2 adalah kemuncak kepada keberanian itu, sebuah naskhah yang membuktikan bahawa animasi tempatan mampu menyajikan naratif bertaraf dunia, tanpa perlu mengorbankan jiwa dan identiti kita sebagai warga Malaysia.
Ejen Ali The Movie 2 ini sebuah filem yang mencerminkan semangat, kreativiti dan ketekunan anak tempatan dalam menghasilkan karya bertaraf dunia. Filem ini bukan saja menyentuh hati penonton dari pelbagai peringkat umur, tetapi juga mengangkat nama industri animasi tempatan ke tahap lebih tinggi.
Jangan dengar cerita sahaja, alami sendiri evolusi epik dunia Ejen Ali di layar perak sekarang! Jangan lupa gunakan #EjenAliTheMovie2 #EATM2 #AniMy untuk kongsikan pengalaman anda dan hangatkan lagi perbualan di media sosial.