Siri animasi Ejen Ali memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Sejak episod pertamanya, “MISI: I.R.I.S.” ditayangkan pada 8 April 2016 di saluran TV3, siri Ejen Ali sudah berjaya mencipta satu fanbase yang tegar.
Majoriti daripada mereka kekal setia menanti karya terkini daripada Ejen Ali. Mereka yang dahulunya ‘budak’ dan kini mungkin sudah bergelar ‘bapak budak’, masing-masing tidak sabar menanti filem keduanya, Ejen Ali The Movie 2 | Misi: Satria.
Secara jujurnya, penantian 6 tahun peminat menanti filem kedua Ejen Ali ini sangat berbaloi, kerana karya filem kedua ini memang sangat membanggakan. Kenapa? Kami ‘bedah’ filem kedua ini tanpa spoiler.
1. Sambungan daripada episod terakhir Ejen Ali Musim Ke-3
Ya, filem kedua ini adalah sambungan terus siri animasi Ejen Ali. Alicia Kheng kini merupakan pengguna semasa I.R.I.S. (Infinity Retinal Intelligent System) dan Ali kini dipilih untuk mengendalikan projek rahsia yang lebih hebat — Projek SATRIA [System Advanced Tactical Raid Intelligence Armor].
Dalam filem ini, Ali dilihat struggle untuk mengendalikan SATRIA dan iri hati apabila Alicia kini semakin serasi dengan I.R.I.S. Namun begitu, selepas menjadi pengguna baharu I.R.I.S, Alicia mendapat ‘satu kebolehan’ yang Ali tidak pernah dapat ketika memakai I.R.I.S. Apa dia? Itu anda kena tonton sendiri di pawagam.
Walaupun anda mungkin tidak ikut secara rapat siri ini, anda akan faham sahaja jalan ceritanya. Nanti boleh tonton kembali siri Ejen Ali selepas tamat filem untuk kenal kembali watak-watak yang muncul dalam filem ini.
2. Adegan fighting yang bergaya lagi padu!
Tak sampai beberapa minit filem bermula, dah ada adegan pertempuran antara ejen dan penjahat. Dari awal hingga akhir, anda tak akan rasa bosan kerana peralihan antara adegan drama dan aksi disulam dengan sangat baik.
Pujian harus diberikan kepada para animator di WAU Animation yang berjaya buat setiap adegan pertempuran nampak sangat real dan tak kaku!
3. Twist yang tidak dijangka
Ketika para ejen M.A.T.A rasa mereka sudah menang rupanya mereka tersalah langkah.
Ada satu twist yang berjaya dalam filem ini yang mengingatkan Min kepada penjahat bernama Riddler, dalam siri The Batman arahan matt Reeves. Nanti anda tengok sendiri. Terbaik!
4. Siri Spin-off Ejen Rizwan?
Ketika kanak-kanak dambakan nak jadi Ali, yang ‘bapak budak’ pula nak jadi Ejen Rizwan! Selain Ali & Alicia, nampaknya ramai yang sudah ‘jatuh hati’ dengan Ejen Rizwan selepas menonton filem ini.
Ejen Rizwan memainkan peranan penting dalam filem ini walaupun beliau tidak lagi bersama M.A.T.A.
Coklat lollipop kekal sebagai trademark bergaya dalam siri Ejen Rizwan.
Ketika ditanya dalam sesi sidang media, CEO Wau Animation, Usamah Zaid tidak menolak jika ada siri spin-off untuk ejen paling cool di M.A.T.A ini jika ada permintaan.
Jangan balik dulu!
Dah habis filem, jangan balik dulu! Sebab ada 2 babak lagi yang menandakan adanya….Anda kena lihat sendiri.
Secara keseluruhan, Ejen Ali The Movie 2: Misi SATRIA adalah sebuah karya yang membuktikan animasi Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan produksi luar negara.
Siri animasi negara nampaknya is in good hands, kita ada Ejen Ali, Upin & Ipin, BoBoiBoy & Mechamato di mana semua siri ini sudah mendunia dan mendapat tempat bukan sahaja di hati penonton dalam negara, tetapi luar negara.
Bagaimana dengan rating? Anak-anak dan peminat setia Ejen Ali pastinya beri markah 10/10 untuk siri ini kerana ia ternyata major upgrade jika dibandingkan dengan filem yang pertama.
Cuma filem kedua ini agak serius, tiada babak seperti ‘Mamak Maju, Servis Laju’ seperti filem pertama. Namun tetap juga diselit adegan lucu untuk kembalikan mood ceria.
Dari segi grafik yang tersangat details sehinggalah runut bunyi (M.Nasir yang nyanyi!), semuanya sangat memuaskan!
Mungkinkah akan ada filem Ejen Ali The Movie 3? Usamah Zaid berkata semuanya bergantung kepada kutipan filem yang kedua ini. Jika mendapat sambutan hangat, segalanya mungkin! Kami juga yakin filem ini dapat mencapai sasaran kutipannya.
Justeru itu, marilah bawa ahli keluarga, rakan dan jiran untuk menonton Ejen Ali The Movie 2 | Misi: Satria di pawagam. Saya jamin, ramai yang ulang banyak kali filem ini di pawagam nanti. Jika kita tak sokong, siapa lagi yang akan sokong kan? Ayuh, semua. Bertindak segera!
P/S: Jangan buat spoiler di media sosial! Ingatlah pada mereka yang belum menonton. Sama-sama kita rasa seronok menonton filem ini hingga ke babak terakhir.