Kuala Lumpur, 16 Jun 2025 – Dengan kutipan mencecah RM55.1 juta, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini secara rasmi dinobatkan sebagai filem animasi dengan kutipan tertinggi dalam sejarah pawagam Malaysia, mengatasi semua karya animasi tempatan dan antarabangsa yang pernah ditayangkan.
Lebih membanggakan, EATM2 kini mengatasi kutipan filem blockbuster dari Hollywood dan juga Asia sepanjang dua bulan ini.
Ini sekali gus menjadi bukti nyata terhadap keyakinan serta sokongan luar biasa penonton Malaysia terhadap naskhah animasi yang berteraskan identiti dan semangat tempatan.
“Kejayaan ini bukan milik WAU Animation semata-mata tetapi milik semua ejen-ejen yang percaya dan berdiri bersama kami sejak awal. Saya amat menghargai dedikasi seluruh pasukan WAU Animation yang telah mencurahkan tenaga dan kreativiti tanpa henti dalam menjayakan filem ini.
“Terima kasih juga kepada rakan produksi kami, Primeworks Studios, yang memberikan sepenuh komitmen dalam mempromosikan filem ini, malah sentiasa tampil dengan idea-idea baharu yang segar dan berani demi memastikan EATM2 terus menjadi pilihan penonton.
“Dan sudah tentu, penghargaan tertinggi buat para peminat yang menjadi tulang belakang dan sumber semangat utama kami sejak hari pertama,” ujar Encik Usamah Zaid Yasin, pengarah filem EATM2.
Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) secara rasmi dinobatkan sebagai filem animasi dengan kutipan tertinggi dalam sejarah pawagam Malaysia apabila meraih RM55.1 juta, sekali gus mengatasi semua karya animasi tempatan dan antarabangsa yang pernah ditayangkan. pic.twitter.com/zAOEI1LBvw
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) June 16, 2025
“Pencapaian ini adalah hasil kerjasama, kepercayaan dan semangat yang dikongsi bersama. Kami harap para penonton akan terus menyokong EATM2 dan bantu kami untuk mencapai sasaran kutipan seterusnya iaitu RM60 juta.
“Hanya dengan sokongan teguh anda dapat kami realisasikan impian untuk menghasilkan naskhah Ejen Ali seterusnya, demi perkembangan industri kreatif tempatan yang bakal membanggakan Malaysia,” kata Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios.
Daripada siri animasi di kaca televisyen ke layar perak, Ejen Ali telah berkembang menjadi sebuah francais yang matang dan berpengaruh.
Filem kedua ini bukan sahaja mengukuhkan kekuatan jenama, malah mencerminkan evolusi penceritaan animasi tempatan yang lebih berani, berdimensi dan menyentuh hati pelbagai lapisan penonton.
Filem ini masih ditayangkan di pawagam seluruh negara. Ayuh rakyat Malaysia, teruskan sokongan anda — kerana kerja kita belum selesai!
Satria, Bangkit – Filem Aksi Animasi Mempesona, Meledakkan Emosi! Kongsi pengalaman anda di media sosial dengan tanda pagar #ejenalithemovie2 #eatm2 #ejenali #letsplay #AniMY #sapotlokal #SaluteAnimatorTempatan