Berbaki beberapa bulan sahaja memasuki tahun 2023, dapat dilihat di media sosial di mana orang ramai digemparkan dengan keadaan ekonomi dunia yang dijangka bakal lebih mencabar pada tahun hadapan.
Syarikat-syarikat besar yang mulai membuang para pekerja bagi mengecilkan kos operasi antara petanda-petanda awal bermulanya recession atau kemelesatan ekonomi.
Baca Juga:
- 60% CEO Jangka Akan Berlaku Krisis Ekonomi Tahun Hadapan, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu
- Trend Pelancong Malaysia Ke Thailand Dilihat ‘Tidak Sihat’ Untuk Ekonomi Negara
Hal ini sekaligus membuatkan orang ramai panik dan turut disarankan untuk mengurangkan perbelanjaan bermula sekarang dalam usaha menempuh keadaan ekonomi yang merosot sebelum keadaan kembali normal.
Di sebalik berita-berita yang nyata ‘menakutkan’ orang ramai, Bank Dunia nampaknya mempunyai pandangan yang berbeza bagi negara Malaysia. Berikut merupakan pandangan Bank Dunia terhadap negara ini menerusi perkongsian The Edge Markets.
1. GDP Malaysia meningkat pada tahun 2022
Meskipun Malaysia dikaitkan dengan kelemahan Ringgit dan ekonomi yang didakwa perlahan, Bank Dunia yang sebelum ini menyasarkan peningkatan Gross Domestic Product (GDP) atau unjuran pertumbahan ekonomi daripada 5.5% kepada 6.4% bagi tahun 2022.
Hal ini secara tidak langsung memberi bayangan ekonomi Malaysia masih lagi baik bagi tahun 2022 berbanding beberapa negara lain di Asia Tenggara meskipun terkesan dengan ekonomi dunia.
2. GDP Malaysia masih positif pada tahun 2023
Seperti ramai sedia maklum, tekanan ekonomi dunia sekaligus bakal memberi kesan kepada ekonomi Malaysia. Dalam pada itu, Bank Dunia sekali lagi positif dengan perkembangan ekonomi Malaysia dengan menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara (KDNK) daripada 4.2% sebelum ini kepada 4.5%.
Ketua Ahli Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia, Dr Aaditya Mattoo, berkata langkah badan kewangan global itu menaikkan unjuran tahun ini adalah berikutan terdapat peningkatan dalam permintaan domestik. Hal ini turut dipacuĀ oleh kemajuan dalam pasaran pekerjaan susulan peningkatan gaji minimum.
Pihak kerajaan juga dilihat aktif dalam menawarkan pelbagai subsidi dalam usaha menyerap kesan inflasi kepada rakyat secara terus.
3. Ekonomi pelancongan dalam negara dijangka meningkat
Seperti ramai sedia maklum, semakin banyak negara sudah mulai membenarkan pelancong ke luar negara serta menerima pelancong dari negara luar. Polisi yang kembali kepada zaman sebelum adanya pandemik ini secara tidak langsung bakal membuka peluang buat Malaysia untuk meraih lebih banyak wang memasuki negara menerusi pelancongan.
Bank Dunia turut positif dalam perkembangan ekonomi Malaysia yang bakal dibantu menerusi sektor pelancongan.
4. Projek jangka masa panjang bakal membantu ekonomi negara
Setiap tahun, pasti adanya sahaja pelan kerajaan dalam memacu ekonomi negara termasuk mewujudkan projek jangka masa panjang yang bakal membantu ekonomi negara.
Menerusi peningkatan projek jangka masa panjang yang telah dilaburkan sebelum ini, Bank Dunia turut yakin projek-projek ini bakal membantu Malaysia menempuh cabaran ekonomi menjelang tahun 2023.
5. Kondisi ekonomi negara luar bakal memberi impak kepada Malaysia
Malaysia merupakan sebuah negara yang bergantung kepada import dan export bahan dan barangan negara luar. Oleh yang demikian, kesan ekonomi yang berlaku kepada negara-negara seperti China, Rusia dan Amerika Syarikat sememangnya tidak dapat dielakkan.
Berdasarkan laporan, perkembangan ekonomi China dilihat semakin perlahan berikutan keadaan ekonomi semasa dan juga gangguan rantaian bekalan yang jelas memberi kesan besar kepada negara yang aktif dalam eksport barangan keluaran negara. Negara Rusia juga tidak terkecuali selepas bekalan gas asli kepada negara luar turut mengalami masalah.
6. Pilihan Raya Malaysia beri impak kepada keyakinan pelabur
Berdasarkan desas-desus, Malaysia bakal melangsungkan Pilihan Raya Utama (PRU) yang ke-15 seawal tahun ini atau selewatnya tahun hadapan. Pengumuman PRU serta keputusan PRU-15 secara tidak langsung bakal mempengaruhi keyakinan pelabur dalam tempoh yang singkat.
7. Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi
Kehadiran pelabur baharu serta penstrukturan semula gaji bakal memberi kesan kepada sejumlah besar golongan pekerja sekaligus meningkatkan kuasa membeli. Bank Dunia melaporkan perkara ini mampu berlaku buat Malaysia namun secara perlahan.
8. Jurang pendapatan isi rumah dijangka lebih jauh dan tidak sekata
Peningkatan pelaburan yang memberi kelebihan kepada golongan pekerja dan profesional secara tidak langsung bakal memberi kesan kepada jurang ekonomi rumah tangga. Dalam erti kata lain, jurang golongan B40 dan T20 bakal lebih besar pada masa akan datang.
Bukan itu sahaja, ekonomi di negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak serta negeri Utara Malaysia dilaporkan lebih perlahan berbanding negeri-negeri lain.
9. Ekonomi Malaysia masih kukuh – Pakar Ekonomi Bank Dunia
Sebuah berita yang melegakan apabila Apurva Sanghi selaku pakar ekonomi Bank Dunia bagi negara Malaysia memaklumkan ekonomi Malaysia masih kekal kukuh.
Menurut Apurva, Malaysia tidak terlepas daripada kesan inflasi yang melihatkan peningkatan harga makanan sehingga lebih 7%. Selain itu, kurangnya tenaga kerja dalam negara antara yang turut memberi kesan kepada perkembangan ekonomi negara.
Dalam pada itu, langkah Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menaikkan Overnight Policy Rate (OPR) jelas membantu dalam menangi inflasi serta dan tekanan ekonomi.
Diharap laporan daripada Bank Dunia ini sekaligus bakal memberi kelegaan buat orang ramai khususnya rakyat Malaysia yang bakal menempuh ekonomi tahun 2023 tidak lama lagi. Sama-sama kita harapkan ekonomi Malaysia bakal terus berkembang dalam mengurangkan tekanan inflasi yang terpaksa ditanggung sebelum musim kemelesatan ekonomi berakhir.