Siapa sahaja tidak mengenali sosok Sarjan Alang yang sudah bertugas menjaga lalu lintas yang sibuk di sekitar Meru, Klang dan ada yang melaporkan di di kawasan Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur sejak awal tahun lalu.

Walaupun ia dilihat sesuatu usaha yang murni, tindakan lelaki itu bagaimanapun menimbulkan keresahan orang awam kerana bimbang akan keselamatan dirinya di tengah jalan yang sibuk tanpa pengawasan oleh badan rasmi berkaitan.

Memetik Sinar Harian, susulan penyebaran video tindakannya baru-baru ini, beliau telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis.

Penjaga berkongsi situasi sebenar

Pemilik akaun Facebook Eone Psyco yang mendakwa dirinya sebagai penjaga menyatakan bahawa kelibat lelaki yang dikenali sebagai Sarjan Alang kemungkinan tidak akan lagi dapat disaksikan berikutan tindakan susulan daripada pihak polis.

“Kami telah membuat rayuan agar beliau dibenarkan meneruskan aktiviti tersebut, namun permintaan itu ditolak,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Isnin.

Tambahnya lagi, pihak polis menegaskan bahawa Sarjan Alang tidak dibenarkan memakai pakaian yang menyerupai seragam anggota polis dan melakukan tindakan yang menyerupai tugas penguat kuasa pada masa akan datang.

Pakaian seragam sudah diambil

Malah, dimaklumkan bahawa pakaian seragam serta kelengkapan yang biasa digunakan oleh individu terbabit kini berada di dalam jagaan polis.

“Sarjan Alang ini anak istimewa. Cita-citanya memang ingin menjadi anggota polis tetapi apakan daya (tidak kesampaian).

“Jika tiada aduan, pihak polis biasanya tidak bertindak, namun selepas desakan dari segelintir netizen, pihak polis terpaksa mengambil tindakan,” jelasnya.

Walaupun ada yang memberikan kritikan dan desakan yang keras, si penjaga masih mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong bahkan membantu dan mendoakan kesejahteraan Sarjan Alang.

Lelaki itu sempat memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak menularkan video yang boleh mencetuskan tekanan terhadap individu istimewa seperti Sarjan Alang. Ada baiknya jika masyarakat terus memberi sokongan secara berhemah dan berbudi bahasa.