Kadar inflasi yang tinggi sememangnya memberi impak kepada seluruh negara. Maka, rakyat pula perlu menanggung kos sara hidup yang lebih mahal dengan kadar gaji yang sama.
Siapa sangka sistem pertukaran barang tanpa menggunakan wang sebagai perantara atau bahasa mudahnya sistem barter kini mula diamalkan semula oleh orang ramai pada era serba moden?
Baru-baru ini, seorang pengguna bernama Yuni Salleh melalui Facebook berkongsi satu hantaran yang cukup menarik perhatian netizen.
Dia berkongsi sebuah tangkap layar memperlihatkan seorang individu yang mengalami kesempitan hidup sehingga terpaksa membuat pertukaran tepungnya untuk mendapatkan susu bayi.

“Sistem barter ini sebenarnya berguna untuk zaman sekarang kerana ramai orang kekurangan duit,” tulisnya pada kapsyen hantaran berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan kenyataan itu dan mendedahkan sebenarnya ramai terpaksa melakukan sistem barter demi kelangsungan hidup yang kian mencabar.


Dalam masa sama, ramai yang mendedahkan memang dalam realiti wujud golongan fakir miskin yang membuat hantaran di grup-grup FB demi secebis nasi dek kerana ekonomi keluarga yang tidak stabil.


Lebih menyayat hati, ada individu yang terdesak meninggalkan komen memohon sesiapa yang sedia untuk melakukan pertukaran barang keperluan seharian dengan barang kesayangan si pengadu.
Selain itu, mereka juga berbuat sedemikian untuk menampung kehidupan seharian sementara menunggu bantuan kerajaan STR yang bakal disalurkan pada 29 Ogos ini.