Mahkamah Tinggi telah memerintahkan seorang wanita berusia 38 tahun membayar ganti rugi RM200,000 kepada seorang suri rumah kerana merosakkan rumah tangga menjangkau lima dekad.

Hakim Evrol Mariette Peters turut memerintahkan suami berusia 74 tahun, yang diputuskan melakukan hubungan luar nikah, membayar nafkah sebanyak RM205,000 secara sekali gus kepada isterinya berusia 72 tahun.

Nafi berlaku curang kerana mati pucuk

Si suami bagaimanapun menafikan kenyataan yang dirinya berlaku curang kerana mendakwa mengalami masalah mati pucuk lapor portal Harian Metro.

Dalam pada itu, Peters turut mengarahkan aset perkahwinan pasangan itu dibahagikan sama rata.

Suami dikenali sebagai PAI dan perempuan simpanannya digelar KAI, turut diperintahkan membayar sejumlah RM100,000 sebagai kos kepada isteri yang dirujuk sebagai HAI.

Peters berkata, keterangan, walaupun mengikut keadaan, menggambarkan naratif yang kuat dan koheren mengenai hubungan luar nikah antara suami dan perempuan simpanannya.

Pernah cuba IVF

Beliau berkata, terdapat keterangan bahawa mereka berkongsi kediaman, suami bermalam di kediaman perempuan simpanan itu, mereka berkongsi tempat tinggal di Singapura, serta percubaan untuk hamil menerusi persenyawaan in vitro (IVF) dan pengakuan yang dibuat oleh suami kepada isteri.

Peters menolak pembelaan suami itu bahawa dia tidak mampu melakukan hubungan seksual.

“Sepanjang perbicaraan, dia mendakwa masalah mati pucuknya menyebabkan tiada lagi hubungan seksual dengan isterinya, dan dia tidak mungkin terbabit dalam hubungan luar nikah dengan perempuan simpanannya,” katanya dalam penghakiman.

Peters berkata, yang penting suami itu gagal memberikan sebarang keterangan sokongan, seperti laporan perubatan, testimoni pakar, atau sebarang dokumentasi menyokong, untuk mengesahkan dakwaannya mengalami mati pucuk, atau jika benar, tahap keterukannya.

Suami itu juga memberikan alasan keputusannya untuk meneruskan IVF didorong oleh masalah mati pucuk, dan akibatnya, ketidakupayaan untuk menghamilkan perempuan simpanannya secara semula jadi.

Peters berkata, tiada korelasi automatik antara keupayaan melakukan hubungan seksual dan ketidakupayaan menghamilkan seorang wanita.

Katanya, hakikat bahawa seorang lelaki tidak dapat menyebabkan seseorang wanita mengandung tidak semestinya bermaksud dia tidak mampu melakukan hubungan seksual.

Hakim memerintahkan perempuan simpanan itu membayar ganti rugi dan kos, memutuskan bahawa dia tahu mengenai komitmen dan tanggungjawab lelaki tersebut terhadap keluarganya, yang menjadikan tindakannya lebih merisaukan.

Peters berkata, beliau enggan menggunakan pendekatan feminis dalam pengagihan aset perkahwinan, kerana keputusan itu akan berisiko mewujudkan gambaran berat sebelah.

Hakim berkata, turut dikemukakan keterangan menunjukkan bahawa isteri menjaga suaminya ketika dia tidak sihat.

Pasangan itu berkahwin pada 1977 dan tidak dinafikan isteri banyak berkorban untuk menyokong kejayaan profesional dan perniagaan suami, kata Peters.

Walaupun isterinya berkelayakan tinggi dalam pengajian perniagaan, dia sanggup menjadi suri rumah manakala si suami selama ini mencapai kejayaan sehingga mampu mengasaskan beberapa perniagaan yang membuktikan kepintarannya sebagai usahawan, kata hakim.

Si isteri mendakwa pada September 2022, si suami mengakui hubungan dengan perempuan simpanannya.

Sebulan kemudian, si isteri memfailkan petisyen pemisahan kehakiman dan menuntut nafkah. Dia meminta separuh daripada nilai semua harta alih dan tak alih, yang terkumpul dalam tempoh perkahwinan mereka.

Wanita itu juga berusaha untuk mempertanggungjawabkan perempuan simpanan suaminya atas peranannya menyebabkan keruntuhan perkahwinan yang tidak dapat dipulihkan.