Dua jaringan pada babak pertama sudah cukup untuk membawa Sepanyol mara ke pentas final Euro 2024 selepas berjaya menundukkan Perancis 2-1 pada aksi separuh akhir, awal pagi tadi.
Tonggak muda, Lamine Yamal jelas mencuri tumpuan pada perlawanan ini apabila jaringannya menjadikan beliau sebagai penjaring termuda dalam sejarah kejohanan.
Baca Juga:
- Beraksi Di Euro 2024, Lamine Yamal Tetap Siapkan Kerja Sekolah
- Euro 2024: Singkirkan Jerman, Sepanyol Kini Calon Juara
- Euro 2024: Langkah Kanan Buat Sepanyol, Tundukkan Croatia
Kemaraan itu turut memberikan ruang buat Sepanyol untuk muncul selaku pemenang terbanyak dalam sejarah penganjuran Euro selepas La Roja berkongsi tiga kejuaraan bersama Jerman.
Pada aksi di Allianz Arena itu, Perancis yang merupakan juara edisi 1984 dan 2000 bagaimanapun terlebih dahulu berada dihadapan seawal minit kesembilan perlawanan.
Berpunca daripada satu serangan balas pantas, Kolo Muani menanduk masuk bola hasil hantaran lintang cantik dilakukan Kylian Mbappe untuk menewaskan penjaga gol, Unai Simon.
Tersentak dengan jaringan tersebut, anak buah Luis de la Fuente Castillo memperkemaskan aksi dan kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-21.
Jaringan itu terhasil menerusi percubaan dari luar kawasan penalti oleh Lamine Yamal yang gagal diselamatkan Mike Maignan di gawang Perancis untuk menggembirakan kem Sepanyol.
Gol tersebut nyata menyemarakkan lagi api perjuangan barisan pemain Sepanyol untuk menambah jaringan kedua. Ia jelas dibuktikan apabila hanya memerlukan empat minit untuk berada di hadapan.
Hasil rembatan Dani Olmo dalam kawasan penalti yang cuba dihalang Jules Kounde tetapi pemain pertahanan itu tertampan bola ke gawang sendiri untuk kedudukan 2-1 memihak Sepanyol.
Babak kedua menyaksikan Perancis mendapat dua peluang terbaik walaupun Sepanyol lebih mendominasi permainan.
Namun, Simon dan barisan pertahanan Sepanyol kental bertahan untuk mengesahkan kemaraan ke final bagi menunggu pemenang antara England dan Belanda, awal pagi esok.