Lagenda Manchester United, Gary Neville mengecam tindakan pengadil memberikan sepakan penalti kepada England ketika aksi separuh akhir Euro 2024 berdepan Belanda awal pagi tadi.

Selepas ketinggalan 0-1, England tidak lama kemudian menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Harry Kane selepas pengadil Jerman, Felix Zwayer membuat semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Baca Juga:

Zwayer pada awalnya tidak memberikan penalti namun segera mengubah keputusan selepas mendapati Harry Kane dikasari Denzel Dumfries ketika percubaannya melewati palang.

Namun, Neville percaya keputusan awal Zwayer adalah tepat sekali gus dia mengkritik tindakan Zwayer menghadiahkan sepakan penalti kepada England.

“Saya rasa ini adalah sesuatu yang sangat memalukan. Ia keputusan yang benar-benar memalukan untuk sepakan penalti diberikan seperti itu pada perlawanan yang penting seperti ini.

“Saya masih marah dengan (satu lagi sepakan penalti) sebelum ini iaitu insiden bola terkena tangan Denmark. Itu juga memalukan dan saya masih tidak berpuas hati mengenainya.

“Dia hanya cuba masuk untuk menghalang percubaan. Jadi ia bukanlah penalti dan saya pun fikir tidak ada mana-mana pemain England yang cuba menuntut untuk sepakan penalti.

“Ia bukanlah sepakan penalti tetapi mungkin England bernasib baik.”

Sepakan penalti itu jelas memberi impak penting kepada perlawanan itu apabila jaringan minit akhir Ollie Watkins membantu mereka meraih kemenangan 2-1 sekali gus mara ke final Euro 2024.

England kali ini berpeluang mencapai impian untuk memenangi trofi utama pertama sejak 1966.