Kemaraan England ke final Euro 2024 jelas tidak disenangi salah sebuah akhbar tabloid di Jerman, Bild yang mengatakan skuad kendalian Gareth Southgate itu menipu dalam usaha menuju ke pentas tersebut.
Tidak menikmati aksi terbaik sepanjang kempen, England bagaimanapun berjaya mengesahkan tempat ke final selepas kemenangan 2-1 dicatatkan ke atas Belanda pada separuh akhir, kelmarin.
Baca Juga:
- Euro 2024: Keputusan Beri Penalti Kepada England Memalukan – Gary Neville
- Pengadil Belanda Menentang England Pernah Digantung Kerana Rasuah
- Euro 2024: Kemaraan England Ke Final Tutup Mulut Pengkritik
Sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil perlawanan, Felix Zwayer kepada England pada perlawanan tersebut turut mendapat kritikan ramai.
Sehubungan dengan itu, Bild berpendapat bahawa skuad The Three Lions itu menipu dan memilih Sepanyol sebagai pasukan pilihan untuk muncul juara.
Hanya dua hari lagi sebelum perlawanan akhir Kejohanan Eropah ke-17 antara Sepanyol dan England berlangsung di Stadium Olimpik Berlin.
“Tanda-tanda pada hari Ahad nanti sangat jelas. Sementara England menipu untuk mencapai final, Sepanyol pula menampilkan persembahan yang hebat sepanjang kejohanan.”
“Mereka adalah jelas menjadi pasukan pilihan dan dilihat cukup berazam untuk memenangi kejuaraan Eropah mereka yang keempat dalam sejarah.”
“Satistik yang menarik tidak membuat England lebih yakin, yang berada dalam final Euro untuk kali kedua berturut-turut dan ingin memenangi gelaran selepas Piala Dunia 1966.”
Sepanyol mara ke final selepas berjaya menundukkan Perancis 2-1 hasil jaringan menarik diledakkan oleh pemain Lamine Yamal dan Dani Olmo.
Perlawanan yang bakal berlangsung di Berlin pada pagi Isnin nanti pastinya menarik untuk disaksikan dengan kedua-dua pasukan memiliki misi besar menjulang trofi Euro 2024.