Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui beliau masih dalam proses mengenal pasti kesebelasan utama terbaik yang mampu menjadi tonggak utama dalam Perlawanan Akhir Unifi Piala Malaysia 2024-2025 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 26 April ini.

Menurut Fandi, setiap pemain masih diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan masing-masing dalam dua baki perlawanan Liga Super sebelum menjelang aksi yang dinantikan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Baca Juga:

Fandi Ahmad Masih Mencari ‘Hujung Tombak’

“Kita sedang mencari lagi ‘hujung tombak’ iaitu siapa yang boleh ‘menembak’, dan sebagai penyerang utama dia mampu menyudahkan peluang dengan baik. Masih ada masa dan kami beri peluang kepada semua pemain untuk tonjolkan kelebihan masing-masing sebelum final Unifi Piala Malaysia,” jelasnya.

Fandi Ahmad
Fandi Ahmad (kanan)

Dalam aksi semalam di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Sri Pahang FC membuktikan kemampuan mereka apabila mencatat kemenangan bergaya 6-0 ke atas Kedah Darul Aman FC, sekali gus memberi isyarat awal bahawa skuad Tok Gajah kini berada dalam prestasi terbaik menjelang kemuncak musim.

Fandi bagaimanapun tetap merendah diri dan tidak mahu terlalu selesa dengan keputusan besar itu, sebaliknya mahu pasukannya terus fokus untuk memperbaiki apa yang masih kurang dalam tempoh singkat yang ada.

“Kalau boleh, kami mahu perbaiki kedudukan dalam carta Liga Super juga. Tetapi fokus utama sekarang adalah final Piala Malaysia. Sudah lama kami tidak ke pentas akhir, dan apabila peluang itu tiba, pemain-pemain nampak lebih bersemangat dan bermotivasi tinggi,” ujarnya lagi.

Dengan kemenangan besar ke atas Kedah Darul Aman, Sri Pahang dijangka melakukan beberapa rombakan taktikal bagi mengekalkan momentum apabila bertemu Perak FC dalam aksi seterusnya.

“Perlawanan menentang Perak nanti pastinya berbeza. Kami perlu lebih berwaspada dan akan menukar strategi. Bahagian tengah dan pertahanan perlu bermain lebih kompak untuk elakkan kesilapan mudah,” katanya.

Aksi final menentang JDT dijangka menjadi pertembungan sengit, dan Fandi Ahmad percaya skuad kendaliannya mampu memberikan saingan sekiranya setiap pemain tampil dengan semangat dan disiplin tinggi.