Pemain tengah Leicester City, Hamza Dewan Choudhury kini secara rasminya sudah mendapat kebenaran daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menyarung jersi skuad kebangsaan Bangladesh.
Sudah membuat 129 penampilan bersama Leicester City, beliau menjadi pemain pertama dalam saingan kempen English Premier League (EPL) yang akan beraksi bersama Bangladesh.
Baca Juga:
- RASMI: Van Nistelrooy Dilantik Pengurus Baharu Leicester City
- Kisah Leicester City, Kelab ‘Underdog’ Yang Menjuarai EPL Musim Ini
- Kekal Cergas Pada Usia 37 Tahun, Jamie Vardy Kongsikan Tiada Hari Tanpa Kafein Dalam Hidupnya
Walaupun lahir di Loughborough, England pada 1 Oktober 1997, Hamza turut mempunyai pilihan untuk beraksi bersama Bangladesh kerana ibunya berasal dari negara Asia Selatan tersebut.
Perkembangan terkini mengenai kebenaran diberikan FIFA itu disahkan oleh Persekutuan Bola Bangladesh (BFF) dalam satu kenyataan rasmi di laman Facebook badan induk bola sepak negara tersebut, malam tadi.
“Persekutuan Bola Sepak Bangladesh dengan sukacitanya memaklumkan bahawa Hamza Dewan Choudhury telah dibenarkan untuk bermain bagi Bangladesh.”
“Keputusan ini dibuat oleh Dewan Status Pemain di Tribunal Bola Sepak FIFA,” ujar BFF mengenai berita gembira tersebut.
Menurut sumber laporan Dhaka Tribune, Hamza sudah lama menyatakan minat untuk menyarung jersi negara kelahiran ibunya itu.
Perjanjian bersama antara Hamza dan BFF telah dicapai pada bulan Februari tahun ini dalam proses untuk memberikannya peluang beraksi untuk Bangladesh selepas melihat peluang beraksi bersama skuad kebangsaan England kelihatan sudah tipis.
Beliau kemudiannya telah menerima pasport Bangladesh pada bulan Ogos dan kini segalanya sudah terungkai buat beliau untuk membuat penampilan sulung.
Selain perlawanan persahabatan antarabangsa yang akan menjelma, khidmat Hamza Choudhury pastinya ditagih untuk membarisi skuad Bangladesh dalam menghadapi Kelayakan Piala Asia 2027 bermula 25 Mac 2025 hingga 31 Mac 2026.
Bangladesh telah diundi dalam kumpulan C bersama-sama India, Hong Kong dan Singapura.