Sejak awal minggu ini ramai memperkatakan jumlah kutipan filem adiwira tempatan, Keluang Man.

Dengan kutipan cuma RM3.7 juta, warganet berasakan filem tersebut merupakan satu filem yang gagal selepas hampir sebulan ditayangkan di pawagam.

Baca Juga:

Bagaimanapun penerbit merasakan ia bukan satu kegagalan. Sebaliknya permulaan kepada pembinaan dunia sinematik lebih besar, petik Harian Metro.

Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad menjelaskan filem itu tampil dengan pendekatan baharu yang memerlukan keberanian dari banyak sudut.

'Keluang Man Tak Gagal, Ini Baru Permulaan Dunia Sinematik Lebih Besar' – Astro Shaw
Sumber Gambar: NiagaTimes.com

“Kami akui bahawa sebagai filem pasca-moden pertama Malaysia, Keluang Man adalah berbeza dan memerlukan keberanian untuk memperkenalkannya kepada industri filem.

“Untuk Keluang Man, banyak elemen ‘pertama kali’ diperkenalkan dalam aspek produksi dan pemasaran filem tempatan,” katanya kepada Harian Metro.

Tambahnya, perkara itu membuatkan mereka menilai semula penanda aras kejayaan sesebuah filem di Malaysia dengan jalan baharu.

Antaranya, dengan pengumuman ‘Astro Shaw Universe’,  satu dunia sinematik yang membariskan watak-watak ikonik tempatan sejak Disember tahun lalu.

“Pada Disember 2023, kami sudah mengumumkan objektif kami untuk membina sebuah Astro Shaw Universe yang lebih besar dengan watak-watak ikonik dan dekat di hati penonton; satu IP (harta intelek) yang boleh berkembang dalam pelbagai format.

“Keluang Man ini hanyalah langkah pertama dan permulaan dalam sebuah perjalanan yang lebih luas, dan kejayaannya tidak hanya diukur melalui jumlah kutipan tiket, malah lebih daripada itu,” katanya.

Jana pendapatan sebelum tayangan Keluang Man bermula lagi
'Keluang Man Tak Gagal, Ini Baru Permulaan Dunia Sinematik Lebih Besar' – Astro Shaw
Sumber Gambar: Marketing-Interactive

Dalam pada itu, Raja Jastina menyatakan pihaknya berjaya menjana pendapatan menerusi pelbagai saluran.

Ini termasuklah kerjasama dan penjualan barangan rasmi yang sudah bermula sebelum filem ditayangkan.

“Alhamdulillah, kami berjaya menjana pendapatan secara aktif menerusi pelbagai platform, termasuk kerjasama strategik dan kerjasama dengan jenama tempatan dalam menghasilkan barangan yang sudah pun dimulakan sebelum tayangan filem berlangsung,” katanya.

Beliau berpendapat kutipan tiket bukanlah ukuran kejayaan sesebuah naskhah filem.

“Ini adalah masa yang sangat mengujakan buat kami kerana kami tidak lagi bergantung kepada kutipan tiket sebagai ukuran utama, dan ini membolehkan kami lebih berani dalam memperkenalkan sesuatu yang baharu ke pasaran,” katanya.

Sumber