Perasaan bercampur-baur dirasai pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli selepas menamatkan saingan FIM JuniorGP World Championship 2025 di Litar Jerez, Sepanyol semalam.
Bermula di petak ke-13 ekoran kesilapan dilakukan ketika sesi kelayakan jelas membuatkan Hakim Danish sedikit bermasalah untuk mengejar pelumba di kelompok hadapan walaupun sudah mempamerkan tunggangan baik dan cukup bertenaga.
Baca Juga:
- FIM JuniorGP 2025: Hakim Danish Catat Keputusan Lebih Baik, Raih Tempat Kelima Perlumbaan 2
- FIM JuniorGP 2025: Hakim Danish Tamatkan Perlumbaan 1 Litar Jerez Di Tempat Kesembilan
- Dari Tempat Terakhir Ke Podium: Hakim Danish Bangkit Luar Biasa Di Le Mans
Pelumba berusia 17 tahun itu bagaimanapun masih mampu untuk menamatkan perlumbaan 1 di kedudukan kesembilan manakala memperbaiki kedudukan pada perlumbaan 2 dengan menduduki tempat kelima.

Hakim Danish Di Kedudukan Keempat Keseluruhan FIM JuniorGP 2025
Dengan pencapaian tersebut, Hakim berjaya menambah 18 mata untuk berada di kedudukan keempat keseluruhan dengan 38 mata diraih.
Pelumba Sepanyol, Brian Uriarte memimpin carta dengan 75 mata, diikuti Rico Salmela dari Finland yang mengumpul 52 mata dan tempat ketiga menjadi milik pelumba Itali, Leonardo Zanni (39 mata).

“Pada Race 1 saya tamat di P9 dan Race 2 di P5. Secara keseluruhan, saya gembira dengan kemajuan saya minggu ini, tetapi kurang berpuas hati dengan keputusan perlumbaan kerana jurang dengan pelumba di hadapan masih jauh.”
“Saya perlu perbaiki dari segi setup jentera dan juga diri saya sendiri. Saya akan terus berusaha untuk perlumbaan FIM JuniorGP seterusnya di Round 3, Magny Cours, Perancis.”
“Minggu depan pula saya akan berlumba dalam Round 3 RedBull MotoGP Rookies Cup di Aragon, Sepanyol. Doakan kejayaan saya.”