Suasana panas tercetus di luar Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) petang tadi apabila penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC bertembung sebelum aksi final Piala Malaysia 2025/26 sebentar lagi.

Insiden bermula apabila kumpulan penyokong kedua-dua pasukan melalui laluan yang sama di kawasan pintu masuk penyokong Sri Pahang.

Provokasi antara mereka mencetuskan pergaduhan singkat yang melibatkan tumbuk-menumbuk, balingan suar serta kon jalan.

Menurut seorang saksi seperti dilaporkan sumber Harian Metro, pergaduhan itu hanya berlangsung sekitar tiga minit sebelum pihak berkuasa berjaya mengawal keadaan dan meleraikan ketegangan.

“Mula-mula penyokong JDT datang, penyokong Sri Pahang bertindak agresif apabila berjumpa dengan penyokong JDT. Bertumbuk sekejap saja dalam tiga minit,” ujar saksi tersebut.

Kejadian tersebut menimbulkan sedikit kekecohan, namun situasi di sekitar stadium kembali tenang selepas campur tangan pihak keselamatan.

Walaupun ketegangan sempat memuncak, semua pihak kini berharap aksi final malam ini dapat berlangsung dalam suasana yang aman dan penuh semangat kesukanan.

JDT yang dilihat sebagai pasukan pilihan pada perlawanan ini mengintai peluang untuk menjulang trofi Piala Malaysia buat kali kelima dan ketiga berturut-turut.

Manakala Sri Pahang yang turut sudah memenangi empat kejuaraan Piala Malaysia mahu mengulangi pencapaian dinikmati pada edisi 2014.

 

Sumber