Sebuah syarikat di bawah GISBH, Ikhwan TV, telah memuat naik video di TikTok yang kini tular di media sosial seolah-olah memerli orang ramai yang termakan dengan dakwaan-dakwaan tersebut.
Video tersebut menampilkan dua orang wanita, yang kelihatan berbual tentang situasi semasa berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadap syarikat terbabit.
Dalam video itu, dua wanita dilihat membincangkan mengenai isu semasa.
Dalam perbualan tersebut, seorang wanita menyatakan bahawa bukan seorang yang mempercayai dakwaan tersebut, malah ramai lagi yang percaya.
Manakala seorang wanita lagi dengan lantang menafikan semua tuduhan tersebut sambil menyatakan bahawa ia adalah fitnah jahat untuk menjatuhka perniagaan orang.
Dalam kenyataannya, wanita terbabit menuduh bahawa fitnah ini dimulakan oleh mereka yang benci, disebarkan oleh mereka yang jahil, dan diterima bulat-bulat oleh orang dungu atau bodoh.
“Kita tak sepatutnya jadi Melayu yang cuba menjatuhkan sesama Melayu hanya kerana kita tak mampu melihat kejayaan orang lain,” kata wanita terbabit.
Namun, video yang dimaksudkan sebagai sebahagian daripada strategi pemasaran GISBH itu telah menarik kritikan hebat di ruangan komen.
Ramai netizen yang tidak bersetuju dengan sentimen yang dibawa, terutamanya berkenaan isu perkauman dan agama yang dikaitkan dengan perniagaan mereka.
“Cukup-cukuplah dengan naratif nak menjatuhkan Melayu. Bukan semua Melayu secara automatik layak dapat sokongan, terutamanya kalau syarikat tu memang bermasalah,” tulis seorang netizen yang merujuk kepada contoh usahawan Melayu lain seperti Khairul Aming yang berjaya tanpa kontroversi.
“Kenapa nak sokong perniagaan yang zalim kepada budak-budak? Tak masuk akal langsung, kak,” tulis pengguna lain yang tidak senang dengan isu penderaan yang timbul.
Untuk rekod, 402 kanak-kanak dan remaja yang didakwa mangsa penderaan di rumah kebajikan yang dikendalikan oleh Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) telah berjaya diselamatkan oleh PDRM.
Susulan daripada kejadian itu, pihak berkuasa juga membuat penahanan terhadap 171 individu dari 20 rumah kebajikan yang terlibat.