Bila bercakap soal gaji yang ‘bermaruah’, ramai rakyat Malaysia—terutamanya golongan muda bujang dan pasangan dengan anak kecil—beranggapan bahawa angka RM5,000 adalah jumlah yang munasabah untuk hidup dengan selesa.

Namun, kenyataan terbaru daripada Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman seperti yang dilaporkan Sinar Harian menimbulkan perdebatan hangat apabila beliau menyifatkan cadangan menetapkan gaji RM5,000 ke atas sebagai tidak realistik dalam suasana ekonomi semasa.

Kesan COVID-19 Masih Terasa

Menurut beliau, banyak syarikat, khususnya yang tergolong dalam sektor mikro, kecil dan sederhana (PKS), masih bergelut untuk kembali stabil selepas dilanda pandemik Covid-19.

Dalam keadaan sekarang, kos operasi semakin meningkat, rantaian bekalan global kerap terganggu, dan permintaan pengguna juga berubah-ubah.

Gaji
Sumber: Majoriti

Semua ini memberi tekanan tambahan kepada majikan, menjadikan usaha untuk menaikkan gaji pekerja bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan tanpa memberi kesan besar kepada kelangsungan syarikat.

Tambah Syed Hussain lagi, situasi ini dihebatkan lagi dengan tindakan Amerika Syarikat yang mengenakan tarif balas sebanyak 24 peratus ke atas produk eksport dari Malaysia.

Walaupun tindakan itu ditangguhkan untuk tiga bulan, ia tetap menjejaskan daya saing negara di pasaran antarabangsa.

Menurut beliau, jika pada masa yang sama kos buruh juga meningkat dengan ketara, para pengeksport tempatan berisiko kehilangan pasaran, manakala pelabur pula akan beralih ke negara-negara yang menawarkan kos operasi lebih rendah.

Ini sekaligus mengurangkan daya tarikan Malaysia di mata pelabur luar.

Tuntutan Gaji RM5,000 Ke Atas Sebenarnya Berasas

Namun, dari sudut yang lain, tuntutan terhadap gaji yang lebih tinggi bukanlah sesuatu yang tidak berasas.

Pensyarah dari UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat bahawa gaji ideal untuk hidup selesa di Malaysia adalah sekitar RM5,000 ke atas, bergantung kepada lokasi seseorang itu tinggal.

Gaji
Sumber: KOSMO!

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi tahun 2023, perbelanjaan asas kehidupan wajar atau PAKW bagi sebuah isi rumah adalah RM4,729 sebulan.

Di bandar-bandar utama, angka ini boleh mencecah lebih RM5,000, manakala di kawasan luar bandar pula sekitar RM3,600.

Ini bermaksud, cadangan gaji RM5,000 bukanlah satu permintaan yang melampau, sebaliknya berpaksikan kepada realiti kos sara hidup yang semakin menekan.

Malangnya, apa yang dilihat ideal dari sudut pekerja tidak semestinya selari dengan kemampuan sebenar majikan.

Gaji
Sumber: Utusan

Justeru itu, Syed Hussain mencadangkan supaya sebarang usaha untuk menaikkan gaji dilakukan secara berperingkat, selari dengan peningkatan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi.

Beliau turut menegaskan bahawa perbincangan mengenai isu gaji perlu dilakukan secara menyeluruh, membabitkan semua pihak termasuk kerajaan, majikan dan wakil pekerja, agar keputusan yang dicapai bersifat seimbang dan tidak membebankan mana-mana pihak.