Sudah berada di tahun 2024, masih wujud lagi isu majikan yang culas untuk menggajikan pekerja mengikut pelaksanaan perintah gaji minimum RM1,500 yang telah berkuat kuasa sejak beberapa tahun lalu.
Terbaharu, tindakan seorang founder produk kecantikan yang melakukan penganiayaan terhadap pekerja dengan membayar gaji dengan kadar rendah telah menerima kecaman hebat dari netizen.
Founder yang dipercayai dari Kulim ini itu turut didakwa tidak membayar caruman Kumpulan Wang Simpanann Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk pekerjanya.
Perkongsian founder ini berjaya dikesan selepas seorang individu bernama Muhammad Musoddiq Bin Jaafar menyiarkan semula tangkap layar dan mengupas serba sedikit tentang salah laku yang dilakukan oleh majikan itu menerusi hantaran di media sosialnya.
“Red flag gila majikan macam ini. Dia tengah eksploitasi dan menindas orang. Bila orang tak nak lagi dieksploitasi, dia tuduh orang manja.
“Basic RM5 sejam dan kalau ikut undang-undang buruh sepatutnya RM7.21 sejam atau RM1,500 sebulan. Kerja 11 jam dan kerja lebih masa dibayar RM6.
“Kalau perform RM7 tetapi itu pun masih lagi tidak mencapai gaji minimum yang ditetapkan, maka dikira masih eksploitasi orang lagi kerana di bawah gaji minima dan tak carum KWSP dan gaji setimpal,” tulisnya di status.
Menurut lelaki ini lagi wanita itu juga bersikap angkuh terhadap pekerjanya.
“Selepas itu, dia kata nak tolong orang (pekerja)? Nak tolong orang atau diri sendiri?
“Kalau bagi gaji setimpal dan compensation setimpal. Tak siaplah rumah bendang itu kan?” katanya dengan nada sindir.
Melalui tangkap layar hantaran Facebook wanita berkenaan, dia hanya membayar gaji pekerja itu sebanyak RM5 sejam kerana pekerja tersebut bukanlah pekerja tetap dan hanya bekerja separuh masa (sambilan) di kedainya.
Selain menggelarkan orang lain manja, dia juga mengugut untuk tidak mahu mengambil pekerja tempatan lagi dan berkemungkinan akan mengambil pekerja warga asing yang sudah pasti boleh ditawarkan gaji yang lebih rendah.