Seorang lelaki ditahan disyaki bersubahat dengan tiga penyamun dan memecah masuk rumahnya sendiri untuk membuat tuntutan insuran palsu, di Taman Hijau, Karak di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga isteri kepada dalang rompakan itu jam 3.20 petang, petik kenyataan rasmi Facebook Polis Bentong.

Baca Juga:

“Mangsa berusia 42 tahun didatangi tiga lelaki tidak dikenali yang memakai topeng bertindak mengacukan parang terhadap mangsa lalu menggeledah rumah wanita terbabit.

“Suspek kemudian melarikan diri menaiki kenderaan jenis Perodua Alza berwarna putih yang diletakkan di hadapan rumah terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek berjaya melarikan sejumlah barang kemas dianggarkan bernilai RM16,000.

Difahamkan ketika kejadian berlaku, mangsa tinggal bersendirian sementara ibu, anak, dan suaminya pergi ke rumah saudara mereka.

“Bertindak atas maklumat 12 jam selepas menerima laporan, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan IPD Nilai menahan dua lelaki tempatan berusia 33 dan lelaki warga asing berusia 24 tahun.

“Serbuan dijalankan jam 9.30 malam sekitar Nilai, Negeri Sembilan itu berjaya merampas kenderaan digunakan suspek semasa kejadian,” katanya.

Zaiham berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek warga tempatan terbabit mempunyai rekod lampau membabitkan kes rompak.

Katanya, hasil soal siasat mendapati suami mangsa seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun disyaki bersubahat dalam kejadian rompakan itu.

“Suami mangsa dipercayai menjadi dalang utama rompakan ini dipercayai semata-mata bagi tuntutan insuran.

“Suaminya turut ditahan dan kesemua mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (rompakan berkumpulan menggunakan senjata,” katanya.

Jika disabit bersalah boleh dihukum penjara mencecah 20 tahun dan disebat.