Gaya hidup ‘fear of missing out’ (FOMO) dan ‘you only live once’ (YOLO) kini menular dikalangan belia di Malaysia sehingga ia membawa kesan yang negatif, terutamanya dalam isu pengurusan kewangan.
Trend ini menyebabkan sebahagian anak muda Malaysia sanggup berhutang semata-mata tidak mahu ketinggalan dalam mengikut trend gaya hidup terkini, walaupun pelaburan di luar kemampuan kewangan mereka.
Isu yang mungkin dilihat kecil ini sebenarnya telah menjadi barah sehingga ada yang terjerat dengan beban hutang seawal usia 20 tahun.
Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata kepada Berita Harian bahawa budaya ini menyerang anak muda di negara ini yang sanggup membuat pelaburan melebihi kemampuan mereka dengan misi untuk memenuhi kehendak, bukannya keperluan.
Pelaburan melebihi kemampuan ini membuatkan mereka sanggup meminjam untuk membeli gajet terkini tanpa memikirkan beban hutang yang bakal mereka bawa.
Menurut data terkini yang dikeluarkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), sebanyak 53,000 individu berumur bawah 30 tahun dilaporkan menanggung hutang terkumpul yang berjumlah RM1.9 bilion.
Statistik ini menunjukkan bahawa situasi kewangan belia Malaysia yang semakin mencabar.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, turut mendedahkan bahawa 28 peratus rakyat Malaysia yang bekerja telah meminjam wang untuk membeli barangan keperluan harian.
Ini termasuk pinjaman untuk sewa rumah, perbelanjaan harian, dan keperluan asas lain, satu tanda bahawa ramai di antara mereka tidak dapat mengurus kewangan dengan baik.
Kesan gaya hidup FOMO dan YOLO ini telah mendorong anak muda Malaysia membuat keputusan kewangan yang kurang bijak.
Ditambah pula dengan sistem hutang yang kini lebih mudah diperoleh sama ada melalui bank atau pelbagai platform pembiayaan alternatif yang berada di pasaran.