Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris mengesahkan kejadian gegaran diikuti bunyi dentuman kuat yang berlaku di bandar raya ini sekitar jam 11.06 pagi tadi bukan berpunca daripada aktiviti letupan kuari atau latihan polis seperti didakwa pengguna media sosial, petik Harian Metro.

Menurutnya, hasil semakan dengan pihak Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta mendapati tiada latihan berkaitan letupan dijalankan pada hari ini.

Baca Juga:

Selain itu, menurutnya, semakan dengan Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) juga mendapati tiada letupan yang dijalankan di mana-mana kuari sebelum pukul 12 tengah hari.

“Hasil semakan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mendapati, daerah Ipoh tidak terkesan dengan sebarang aktiviti seismik walaupun terdapat kejadian gempa bumi yang berlaku di Halmahera, Indonesia pada jam 11.24 pagi tadi.

“Polis sedang menyiasat insiden ini dan orang ramai dinasihati supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga mencetuskan kegusaran awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media sosial digemparkan dengan gegaran serta bunyi dentuman yang kuat di sekitar kawasan Ipoh.

Situasi itu turut didakwa berlaku di beberapa lokasi lain yang berhampiran.

Sumber