Memang tidak dinafikan hadiah mewah yang mencecah ribuan ringgit mungkin kelihatan gah, bagaimanapun pemberian sesuatu barangan dari orang tersayang jauh tidak terkira nilainya.

Seorang pengguna TikTok @yanzyan14 berkongsi sebuah video menunjukkan anak lelakinya telah menghadiahkan sepeket biskut sempena hari jadi.

Menerusi video tersebut, anak Yan Zyan yang baru sahaja pulang dari sekolah telah memberikan ucapan hari lahir sambil mengeluarkan sepeket biskut daripada kocek baju sekolah.

“Hari ini hari jadi ibu kan? Nah adik bagi hadiah untuk ibu,” kata anaknya kepada wanita itu.

Budak lelaki itu juga sempat meminta maaf kepada ibunya kerana hanya mampu memberikan makanan ringan itu dan bukannya hadiah istimewa yang mahal dan mewah.

Pun begitu, apa yang melucukan apabila budak lelaki tersebut mengatakan biskut itu adalah pemberian daripada rakannya di sekolah.

“Maaf ye sebab adik tak boleh beli apa-apa.. adik bagi ni ja.. Ini pun kawan adik yang bagi,” ujarnya lagi dengan berseloroh.

Sebaik sahaja Yan Zyan diberitahu tentang itu, dia terus ketawa dek gelagat anaknya yang lucu dan menghiburkan itu. Bagi menghargai hadiah tersebut, Yan Zyan memberitahu dia akan makan biskut tersebut pada waktu itu juga.

“Mula-mula ibu sebak, lepas itu ibu gelak besar adik. Terima kasih adik sebab ingat hari jadi ibu, sayang adik,” kongsi wanita itu.

@yanzyan14

Mula ibu sebak… pas tu ibu tergelak besor dik🤣🤣🤣#teamsinggel💪 #loveyourjourney #fyp

♬ original sound – Yanz Yan – Yanz Yan

Perkongsian itu ternyata telah meraih perhatian netizen di TikTok. Ramai antara mereka terharu dengan gelagat budak itu dan memuji dia pandai mengucapkan kata maaf walaupun masih kecil.

“Bagus adik ingat birthday ibu, siap mintak maaf lagi pasal tak dapat beli apa-apa,” komen seorang netizen.

“Amat berharga pemberian anak biar pun sekeping biskut. Anak masih kecil tapi ingat birthday ibunya,” kata seorang netizen lain.

“Ini bukan hal hadiah tetapi masih fikirkan ibu bapa itu yang paling penting. Bagusnya dia,” luah seorang netizen dengan nada sebak.

Ramai juga berpendapat bukan seberapa mahal hadiah yang perlu diambil kira tetapi keikhlasaan pemberian dari seseorang itu adalah jauh lebih penting.