Seorang penjual kereta import menegur tindakan gen Z cuba membeli kereta Honda Civic FL1 dengan tawaran harga RM100,000 berbanding harga asal RM163,000 seperti diiklankan di laman facebooknya.

Ini kerana ianya tidak masuk akal untuk dijual kepada pembeli yang memiliki gaji bersih sekitar RM1,700 kerana kos sebenar untuk bayaran bulanan lebih tinggi daripada pendapatan tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Baca Juga:

Penjual yang dikenali sebagai Faris itu turut menasihati golongan Gen Z agar bijak menguruskan wang dan membeli kereta mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

“Kita run iklan dekat mana-mana pun dia komen benda-benda negatif. Selagi tak dapat harga dia nak, selagi itu lah dia ajak kawan-kawan di komen benda merepek.

“Kadang-kadang kita tolak sesuatu benda itu bersebab. Bukan sebab kita sombong. Tapi untuk kebaikan diri sendiri,” jelas Faris menerusi laman facebooknya.

Faris turut berkongsi paparan perbualan whatsapp bersama pembeli Gen Z tersebut. Walaupun deposit sebanyak RM6,000 disediakan namun ia masih belum cukup untuk memiliki sebuah kereta import dari Jepun tersebut.

“Pesanan ikhlas dari saya untuk adik-adik Gen Z, selagi belum mampu untuk capai sesuatu teruskan usaha sebaik mungkin.

“Jangan ajar diri terlalu manja. Uruskan wang anda dengan bijak,” tegasnya.

Ia juga menunjukkan betapa pentingnya memahami beban kewangan yang datang untuk memiliki sebuah kereta mewah, terutama dengan pendapatan yang terhad.

Dalam dunia yang semakin mencabar ini, pengurusan kewangan yang bijak adalah kunci kepada kestabilan kewangan dan kesejahteraan peribadi.