Pihak Pendakwa Raya Indonesia (AGO) telah menyita aset bernilai lebih 11.88 trilion rupiah (kira-kira RM3.6 bilion) daripada lima anak syarikat kumpulan agribisnes berpangkalan di Singapura, Wilmar Group. Rampasan ini adalah susulan skandal rasuah yang melibatkan permit eksport minyak sawit mentah (CPO).
Memetik Harian Metro, Pengarah Pendakwaan Unit Jenayah Khas AGO, Sutikno, menyatakan bahawa syarikat-syarikat yang terlibat dalam skandal ini, iaitu Multimas Nabati Asahan, Multi Nabati Sulawesi, Sinar Alam Permai, Wilmar Bioenergi Indonesia, dan Wilmar Nabati Indonesia, telah menyerahkan wang rampasan tersebut.
Penyerahan ini adalah sebagai ganti rugi terhadap kerugian kewangan yang dialami oleh negara.
“”Kes ini berkaitan dengan penyalahgunaan permit eksport semasa larangan eksport sawit pada 2022, ketika Indonesia mengalami krisis minyak masak.
“Syarikat ini dituduh mengaut untung secara haram sepanjang tempoh itu,” katanya dalam sidang media ibu pejabat Jenayah Khas AGO di sini, semalam.
Wang Rampasan Skandal Sawit Dipamerkan

Sebanyak 2 trilion rupiah (kira-kira RM606 juta) wang tunai dipamerkan di atas meja besar, dikelilingi lapan pegawai pendakwa. Wang tersebut disusun dalam bentuk ikatan wang tunai 100,000 rupiah (kira-kira RM26) yang hampir memenuhi seluruh ruang pameran.
Walaupun jumlah rampasan keseluruhan mencecah 11.88 trilion rupiah, Mahkamah Korupsi Jakarta pada Mac lalu telah membebaskan lima syarikat yang terlibat daripada sebarang pertuduhan jenayah, sekali gus mencetuskan kontroversi hebat.
Tiga Hakim Disyaki Rasuah dalam Kes Minyak Sawit
Kini, Pejabat Peguam Negara (AGO) telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Agung Indonesia bagi kes ini. Audit bersama yang dijalankan oleh Agensi Audit Kewangan dan Pembangunan (BPKP) serta Universiti Gadjah Mada mendapati kerugian negara mencecah angka yang sama, termasuk kerosakan langsung dan impak ekonomi yang lebih luas.
Semua wang rampasan yang berkaitan dengan kes ini kini disimpan dalam akaun escrow di Bank Mandiri dan dikawal selia oleh Unit Jenayah Khas Pejabat Peguam Negara (AGO).
Dalam perkembangan berkaitan, tiga hakim – Agam Syarif Baharuddin, Ali Muhtarom, dan Djuyamto – kini ditahan selepas disyaki menerima rasuah daripada peguam syarikat, Ariyanto. Rasuah ini dipercayai bertujuan untuk menggugurkan sabitan ke atas syarikat korporat yang terlibat, termasuk Wilmar, Permata Hijau, dan Musim Mas Group.
Mahkamah Rasuah dalam penghakiman pada 19 Mac lalu memutuskan bahawa syarikat-syarikat tersebut bersalah mengeksport sawit tanpa permit, namun anehnya, mahkamah turut memutuskan bahawa perbuatan itu bukanlah satu jenayah.
Sebelum ini, pihak pendakwa raya menuntut ganti rugi berjumlah 11.8 trilion rupiah (kira-kira RM3.58 bilion)daripada Wilmar, 4.8 trilion rupiah (kira-kira RM1.45 bilion) dari Musim Mas, dan 937 bilion rupiah (kira-kira RM284 juta) daripada Permata Hijau.
Ini menjadikan jumlah kerugian keseluruhan yang ditanggung negara dianggarkan mencecah 18.3 trilion rupiah (kira-kira RM5.55 bilion), termasuk subsidi minyak masak yang terpaksa ditanggung kerajaan semasa krisis pada tahun 2022.