Sementara di negara kita sedang mengalami kekurangan tenaga pekerja dalam institusi perubatan, rupanya semakin ramai beralih ke negara jiran iaitu Singapura susulan sejumlah penawaran menarik dan lumayan.
Memetik FMT, seorang doktor yang berkhidmat di sebuah hospital di Singapura, graduan perubatan Malaysia dikatakan menjadi pilihan hospital di sana kerana mereka dianggap sebagai ‘aset murah tetapi berkualiti tinggi’.
‘Aset murah tetapi berkualiti tinggi’

Dr. Akram, yang enggan nama sebenarnya didedahkan, berkongsi bahawa graduan perubatan Malaysia terdapat di semua hospital di Singapura dan menjadi pilihan kerana sistem latihan doktor pelatih di Malaysia yang holistik.
“Hospital yang saya bertugas ini, 40% petugas perubatan adalah graduan universiti terkemuka di Malaysia,” katanya, yang sudah setahun berkhidmat di negara berkenaan.
Selepas enam bulan bertugas sebagai pegawai perubatan di sebuah hospital di Malaysia, Akram menerima tawaran untuk berkhidmat di Singapura.

“Singapura mahu bina dua hospital baru, sudah tentu lebih ramai graduan perubatan atau pegawai perubatan dari Malaysia akan dipancing ke sini,” ujarnya lagi.
Menurut laman web Kementerian Kesihatan Singapura, terdapat 11 hospital awam dan sembilan hospital swasta di republik itu, selain 10 pusat pakar yang meliputi bidang kanser, jantung, mata, kulit, sains neuro, penyakit berjangkit, dan pergigian.
Terdapat trend peningkatan graduan perubatan tempatan ke sana

Pada 20 Mac yang lalu, akhbar The Star melaporkan peningkatan dalam trend graduan perubatan yang memilih untuk menjalani latihan siswazah (housemanship) di Singapura.
Dekan Fakulti Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Marina Mat Baki, menyatakan bahawa jumlah graduan yang berpindah ke Singapura adalah seramai 30 orang pada tahun 2023, meningkat daripada 25 orang pada tahun 2022, 15 orang pada tahun 2021, dan hanya dua orang pada tahun 2020.
Ramai pilih sambung bekerja di luar negara

Dalam pada itu, Akram berkongsi bahawa beliau mendapat tahu daripada rakan-rakan seprofesionnya bahawa ramai pegawai perubatan bercadang untuk bekerja di luar negara.
Beliau menjelaskan bahawa daya tarikan utama adalah gaji yang tinggi serta kemudahan-kemudahan lain, termasuk layanan yang baik dan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan yang sepadan dengan tanggungjawab dan beban kerja yang dilaksanakan.
“Sejujurnya, ramai penuntut perubatan di dua universiti popular tempatan sedang mengintai peluang dan berminat menyertai kami di sini,” katanya.
Tambahnya, walaupun sistem di Malaysia memberikan latihan dan pendedahan secukupnya, dia mendakwa rata-rata pegawai perubatan mengalami ‘burn out’ susulan isu layanan, kebajikan dan juga tiada keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan hakiki.
Dapat pelbagai elaun yang menarik
Walhal di Singapura, pegawai perubatan bawahan atau junior menerima elaun pegawai perubatan dan perumahan setiap bulan, dan juga elaun kesejahteraan pada setiap tahun serta bonus prestasi dan bonus ‘variable’ korporat malahan bayaran tunggu sedia (on-call) pada hari biasa, hujung minggu dan pelepasan am.
Bukan itu sahaja, mereka juga diberi cuti tahunan, cuti sakit, cuti tanpa sakit cuti keperluan keluarga, cuti kahwin, cuti latihan atau kursus dan cuti hari kelahiran.
Menariknya, Akram mendakwa permohonan cuti di sana jauh lebih mudah berbanding di Malaysia susulan kekurangan tenaga kerja.
“Di sini, setiap hospital ada doktor pakar, pegawai perubatan dan doktor pelatih tersendiri. Di Malaysia, doktor pakar kita terpisah-pisah contoh pakar jantung di Hospital Serdang dan lain-lain,” katanya.
Selain itu, dia juga berkongsi bilangan pesakit yang dirawat oleh seorang pegawai perubatan di sana tidak seramai di Malaysia.
“Di sini, seorang pegawai perubatan akan merawat hanya 20 pesakit sehari tetapi di Malaysia, seorang doktor terpaksa merawat sehingga 40 pesakit sehari,” kongsinya lagi.