Reputasi Gunung Rinjani sebagai salah satu destinasi mendaki paling ikonik di Asia Tenggara kini sedang diuji, selepas dua insiden melibatkan pendaki asing.

Satu membawa maut dan satu lagi mengakibatkan kecederaan serius.

Rinjani

Situasi ini menyebabkan kemarahan netizen, terutama dari Brazil, yang bertindak memberikan penarafan bintang satu di Google Maps sebagai tanda protes terhadap apa yang mereka dakwa sebagai kegagalan pengurusan keselamatan oleh pihak berkuasa Indonesia, lapor Detik.

Tragedi Rinjani – Insiden Pertama

Insiden pertama melibatkan Juliana Marins, seorang wanita warga Brazil berusia 27 tahun yang terjatuh dari tebing setinggi 600 meter di kawasan Palawangan Sembalun pada Sabtu, 21 Jun lalu.

Mayatnya hanya berjaya ditemui dan dievakuasi empat hari kemudian pada 25 Jun.

Rinjani

Kematian tragik Juliana bukan sahaja mendapat liputan luas media antarabangsa, malah turut mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat Brazil.

Ratusan netizen menyerbu Google Maps dan memberikan ulasan beremosi serta rating rendah terhadap Gunung Rinjani, sebagai simbol kekecewaan terhadap pengurusan keselamatan lokasi pelancongan itu.

Tragedi Rinjani – Insiden Kedua

Belum pun reda isu ini, satu lagi insiden berlaku — kali ini melibatkan seorang pendaki dari Malaysia yang dilaporkan terjatuh kira-kira 200 meter ketika menuju ke kawasan Danau Segara Anak pada Jumaat lepas.

Pendaki tersebut mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang pinggul dan luka di kepala.

Rinjani

Bagaimanapun, menurut Ketua Balai Taman Nasional Gunung Rinjani (BTNGR), Yarman, mangsa masih boleh berjalan dan telah diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dibawa ke pos kawalan terdekat untuk tindakan lanjut.

Beliau menegaskan bahawa operasi menyelamat dijalankan mengikut standard keselamatan yang ditetapkan, namun dalam masa sama mengingatkan bahawa cabaran mendaki Rinjani tidak boleh dipandang ringan.