“Ya, ketika saya miskin, saya marah,” kata Gurmit Singh dalam temubualnya bersama CNA ketika disoal adakah beliau marah dilahirkan miskin.

Dalam temubual ini, Gurmit mendedahkan sisi peribadinya yang jarang diketahui ramai—perjuangan hidup di tengah kemiskinan semasa zaman kanak-kanak.

Gurmit membesar di sebuah flat HDB kecil dengan dua bilik tidur bersama keluarganya.

Namun, ruang bilik bukanlah miliknya. “Saya tidur di ruang tamu, hanya dengan tilam nipis,” katanya.

Makanan harian mereka juga sangat sederhana.

“Kami makan nasi dengan kentang dan kicap. Setahun sekali, kami pergi ke KFC untuk Deepavali. Itu seperti kemewahan bagi kami,” tambahnya.

Ketika rakan-rakannya menikmati makanan segera selepas sekolah, Gurmit terpaksa memberi alasan kerana tidak mampu.

“Saya cuma ada 40 sen untuk waktu rehat—cukup untuk segelas minuman dan sedikit mee siam. Jadi, saya tak ada duit lebih untuk keluar selepas itu,” katanya.

Walaupun serba kekurangan, Gurmit tidak mahu ketinggalan untuk menikmati kegembiraan bersama rakan-rakannya.

Dia membuat keputusan untuk menyimpan 40 sen setiap hari dengan tidak makan pada waktu rehat.

“Jadi, pada hari Jumaat, 40 sen kali lima jadi $2. Dengan itu, saya boleh beli filet-o-fish meal di McDonald’s dan makan bersama mereka.”

Pengalaman ini meninggalkan kesan mendalam pada dirinya sehingga hari ini.

Setiap kali Gurmit mengunjungi negara orang, dia akan mencari McDonald’s, memesan filet-o-fish, duduk di satu sudut, dan berdoa.

“Saya berterima kasih kepada Tuhan kerana sekarang saya boleh makan filet-o-fish bila-bila masa tanpa perlu kebuluran lagi,” katanya penuh syukur.

Pengalaman hidup susah Gurmit Singh tidak membuatnya menyerah kalah, sebaliknya menjadi pendorong untuk bekerja lebih keras.

Dia kini menjadi bukti bahawa kemiskinan bukan penghalang untuk mencapai kejayaan.