Guru yang menjadikan pelajar sebagai kandungan media sosial bakal berdepan dengan tindakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang isu pelanggaran garis panduan penglibatan murid di dalam media sosial.

Baca Juga:

Sumber Gambar: NST

“Sekiranya garis panduan itu tidak dipatuhi dan ada aduan, tindakan boleh diambil,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi Town Hall Sinar Harian bersama Menteri Pendidikan pada hari semalam.

Media sebelum ini melaporkan ibu bapa gusar dan menyelar tindakan segelintir guru menggunakan anak murid sebagai kandungan untuk dimuat naik ke akaun laman sosial mereka demi mengejar populariti dan mendapat habuan peribadi.

Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) juga dilapor menerima sekurang-kurangnya satu aduan sehari daripada ibu bapa mengenai anak mereka yang dijadikan kandungan peribadi media sosial guru.