Kedudukan lebih baik diraih Hakim Danish Ramli pada perlumbaan 2 saingan FIM JuniorGP World Championship 2025 di Litar Jerez, Sepanyol malam tadi.
Hal ini kerana pelumba berusia 17 tahun itu berjaya menduduki tempat kelima selepas bersaing hebat bersama Casey O’Gorman, David Gonzalez, Pau Alsina dan Giulio Pugliese.
Baca Juga:
- FIM JuniorGP 2025: Hakim Danish Tamatkan Perlumbaan 1 Litar Jerez Di Tempat Kesembilan
- Hakim Danish: Tenang Buat Saya Lagi Laju
- Dari Tempat Terakhir Ke Podium: Hakim Danish Bangkit Luar Biasa Di Le Mans
Bermula dari petak ke-13 jelas tidak melunturkan semangat juang Hakim untuk tampil dengan cukup meyakinkan dalam memburu kedudukan terbaik.

Malah, anak kelahiran Kuala Terengganu itu pastinya mahu memperbaiki kedudukan selepas menamatkan perlumbaan 1 di kedudukan kesembilan.
Hakim kemudiannya mempamerkan aksi penuh berani serta kematangan terutamanya ketika mendahului ketika perebutan kedudukan kelima di selekoh-selekoh kritikal litar sepanjang 4.4 kilometer itu.
Meskipun ditekan hebat beberapa pelumba di belakang, Hakim Danish terus fokus untuk mengekalkan kedudukan ketika pelumba kelompok hadapan sudah meninggalkan mereka dengan kelebihan hampir 14 saat.
Hakim Danish Di Kedudukan Keempat Keseluruhan
Perlumbaan 2 ini terus didominasi oleh Brian Uriarte yang menyapu bersih ketiga-tiga perlumbaan setakat ini untuk mengumpul mata maksimum sebanyak 75 mata bagi memimpin carta keseluruhan.
Rico Salmela dari Finland yang turut menamatkan perlumbaan di tempat kedua mengumpul 52 mata manakala Leonardo Zanni dari Itali dengan 39 mata.

Hakim Danish pula di tempat keempat dengan 38 mata hasil tambahan 18 mata (tujuh mata ketika perlumbaan 1) pada saingan di Litar Jerez ini.
Selesai saingan di Sepanyol, perlumbaan FIM JuniorGP World Championship akan bersambung di Litar Nevers Magny-Cours, Perancis pada 6 Julai nanti.