Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli menambah tujuh lagi mata dalam saingan FIM JuniorGP World Championship 2025 selepas menamatkan perlumbaan 1 di kedudukan kesembilan, sebentar tadi.

Saingan di Litar Jerez, Sepanyol itu menyaksikan Hakim Danish memulakan perlumbaan di petak ke-13 ekoran sesi kelayakan yang mengecewakan.

Baca Juga:

Namun, ia tidak langsung mematahkan semangat juang anak kelahiran Kuala Terengganu itu untuk memberikan tunggangan bertenaga bagi mendapatkan mata.

Hakim Danish
Kredit Foto: ZK Racing

Seperti dijangka, penunggang jentera KTM SIC Racing MSI itu berupaya untuk memintas beberapa pelumba dihadapannya untuk melepasi selekoh pertama di kedudukan ke-11.

Memasuki pusingan keenam, Hakim Danish berada di kedudukan ketujuh tetapi ia tidak kekal lama apabila beliau kembali dipintas tiga pelumba lain.

Namun begitu, pelumba berusia 17 tahun itu terus mempamerkan aksi konsisten dan matang apabila berjaya mengekalkan rentak sehingga ke garisan penamat untuk menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan.

Pelumba Sepanyol, Brian Uriarte meneruskan rentak cemerlang dengan muncul  juara perlumbaan 1 dimana beliau turut merupakan pemenang ketika perlumbaan di Litar Estoril, Portugal awal Mei lalu.

Satu keputusan yang masih boleh dibanggakan sekali gus membolehkan Hakim mengutip tujuh mata berharga.

Dengan tambahan mata tersebut, Hakim kini mengumpul 27 mata hasil kejayaan menduduki tempat kedua pada perlumbaan di Portugal untuk berada di kedudukan ketiga keseluruhan.

Hakim Danish
Kredit Foto: ZK Racing

Masih Ada Peluang Buat Hakim Danish

Hakim Danish masih berpeluang untuk memburu kejuaraan di Litar Jerez ini apabila perlumbaan 2 akan berlangsung pada jam 8.00 malam nanti.

Untuk rekod, FIM JuniorGP merupakan antara platform pembangunan pelumba paling kompetitif di dunia, yang menjadi batu loncatan kepada Moto3, Moto2 dan akhirnya pentas utama MotoGP.

Sekiranya momentum baik ini dapat dikekalkan, tiada yang  mustahil untuk melihat nama Hakim Danish Ramli bakal mengisi senarai pelumba Malaysia seterusnya di peringkat dunia dalam masa terdekat.