Pengurus Barcelona, Hansi Flick membidas tindakan Real Madrid yang dianggap menggunakan taktik kotor ketika mereka memuat naik video tentang pengadil di dalam siaran tv rasmi kelab.

Hansi Flick akui terkejut ketika ditanya tentang tindakan Real Madrid tersebut, dan mengingatkan musuh tradisi mereka itu bahawa, pengadil hanya menjalankan tugas mereka dan haruslah menghormati pengadil.

Flick menyatakan dia tidak pernah menonton video tersebut. Namun dia membidas apa yang dilakukan Real Madrid adalah perkara yang tak betul.

“Saya tak tahu tentang video di Real Madrid TV itu, namun itu tindakan tidak betul. Apa yang mereka lakukan itu adalah salah dan tidak seharusnya dilakukan,” tegas Flick.

Flick simpati dan memberikan pujian kepada pengadil kerana mereka melakukan tugasan yang sangat sukar.

Flick menambah: “Pengadil melakukan tugas sangat sukar. Dan tugas saya adalah untuk mempersiapkan pemain pemain saya.

“Saya ada banyak pengalaman dan saya tak pernah ada masalah dengan pengadil.

“Saya beritahu pasukan saya sebelum musim bermula bahawa fokus kami adalah kepada prestasi, dan bukan fokus kepada tugasan pengadil.”

Hansi Flick menegaskan bahawa dia tidak kekok untuk berada di Bernabeu kerana pernah berada di sana termasuk ketika era dia menjadi pemain.