Nampaknya masih ramai rakyat Malaysia yang dilaporkan tidak bersedia untuk bersara dengan selesa yang mana agak menggusarkan banyak pihak untuk jangka masa panjang.
Berdasarkan kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dianggarkan hanya kira-kira 35 hingga 36 peratus rakyat Malaysia akan memiliki simpanan persaraan yang mencukupi untuk menampung kos sara hidup mereka.

Beliau berkata, kerajaan kini rancak memperkenalkan pelbagai insentif untuk menggalakkan rakyat membuat caruman persendirian kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Antara langkah yang dilaksanakan termasuk memperluas penggunaan teknologi digital bagi memudahkan rakyat membuat caruman tambahan secara dalam talian, tanpa perlu melalui proses yang rumit atau membebankan.
“Kalau kita lihat sekarang, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah simpanan untuk zaman persaraan yang masih tidak mencukupi. Ketika ini, hanya sekitar 35 hingga 36 peratus rakyat dijangka mencapai jumlah simpanan yang mencukupi untuk menyara kehidupan selepas bersara.
“Maka, usaha perlu digandakan bagi meningkatkan kadar simpanan ini. Persoalannya, bagaimana caranya?
“Kita berusaha meningkatkan simpanan ini dengan menggalakkan orang ramai membuat caruman sendiri, bukan hanya bergantung kepada potongan gaji atau sumbangan daripada majikan. Pada masa sama, kita juga memudahkan kaedah simpanan contohnya dengan penggunaan teknologi.
“Jika mereka mahu membuat pemindahan secara dalam talian, semuanya boleh dilakukan dengan mudah. Apabila proses itu tidak merumitkan, orang lebih cenderung untuk menyimpan dan menambah simpanan mereka,” katanya menerusi laporan Awani, pada Selasa.
Menurut beliau, galakan ini akan turut ditumpukan kepada kategori tertentu seperti pekerja ekonomi gig dan individu yang baru mula menabung.
Sebagai makluman tambahan, KWSP kini telah menambah baik struktur simpanannya dengan mengasingkan kepada tiga akaun agar pencarum mempunyai lebih banyak pilihan.
“Kita juga dapat lihat bahawa skim dalam KWSP telah mengalami perubahan. Kini, simpanan telah dipecahkan kepada tiga akaun iaitu ada akaun yang boleh digunakan, ada akaun kecemasan dan satu lagi akaun yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf hidup, contohnya bagi tujuan pembelian rumah dan pendidikan.
“Ini adalah antara banyak usaha yang kita laksanakan dalam menambah baik sistem yang sedia ada, agar wang yang dikumpul dapat bekerja dengan lebih berkesan dan memberi pulangan yang lebih baik kepada pencarum,” katanya.
Amir turut menyarankan agar GLIC lebih giat mencari peluang baharu yang selaras dengan landskap ekonomi negara yang berubah, yang kini lebih menumpukan kepada ekonomi berasaskan modal intelek dan sektor informal.
Katanya lagi, fokus baharu ini harus membuka ruang kepada golongan bekerja sendiri dan mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang keusahawanan.
“Kalau kita lihat sektor penjagaan (care giving) di Malaysia masih berada pada peringkat awal pembangunan. Belum banyak pihak yang meneroka industri ini. Ia sebenarnya membuka peluang baharu, tetapi disebabkan masih baharu, tidak ramai yang berani untuk melabur.
“Justeru, GLIC boleh memainkan peranan penting untuk mengaktifkan segmen ini dengan lebih berkesan,” jelasnya.