Sering kali kita mengganggap bahawa seseorang yang bekerja dengan jenama terkemuka akan menerima gaji yang lumayan susulan menerima jumlah jualan yang tinggi pada saban tahun.
Namun ia tampil berbeza dalam realiti dunia sebenar seperti yang dikongsikan menerusi sebuah video yang mana menceritakan gaji sebenar yang diterima oleh pekerja kilang di Indonesia untuk sebuah jenama kasut sukan terkemuka.
Menerusi video tersebut, seorang wanita yang dipercayai dari NGO yang mahu memberi kesedaran kepada umum bahawa gaji yang diterima oleh seseorang pekerja kilang Nike di Indonesia secara khususnya terlalu rendah berbanding dengan harga kasut yang dijual di dalam pasaran.
“Gaji wanita ini hanyalah 3 juta rupiah(~RM857.14). Kasut ini berharga 3.3 juta rupiah(~RM942.86). Jadi, kasut ini lebih mahal berbanding dengan gaji sebulan wanita ini,” ujarnya.
Tambahnya, wanita itu menghasilkan kasut tersebut pada setiap hari dengan kuantiti mencecah 130 pasang/jam tetapi gaji bulanannya tidak mencapai atau setara dengan sepasang kasut Nike yang dijual di butik mereka.
Dalam pada itu, wujud perasaan berbaur sedih dan gembira dalam masa walaupun hasil kerjanya kasut yang cantik itu dijual ke serata dunia, tetap merasa seperti tidak dibayar setimpal dengan tenaga kerjanya.
Berdasarkan kapsyen video, difahamkan tiga pekerja dari kilang Nike Indonesia dijemput melawat Nike Oregon, Amerika pada minggu ini untuk membahaskan perihal upah atau gaji yang rendah, keadaan tempat kerja yang tidak memuaskan.
Tidak sekadar itu, mereka mahu meluahkan kegusaran berhubung apa yang bakal dihadapi menjelang kenaikan tarif yang pasti akan memberi kesan kepada gaji semasa mereka.