Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membuktikan dominasi mereka dalam arena bola sepak tempatan apabila berjaya menjuarai Piala Malaysia 2025 selepas menewaskan Sri Pahang 2-1 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kejayaan yang memastikan skuad Harimau Selatan mengungguli saingan itu buat kali ketiga berturut-turut untuk menyamai pencapaian Singapura, Selangor dan Kuala Lumpur.

Baca Juga:

Lebih manis, ini bermakna JDT sekali lagi menyapu bersih tiga kejuaraan dimana sebelum ini mereka menjuarai Liga Super dan Piala FA.

Skuad kendalian Hector Bidoglio itu hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketiga, namun tolakan Juan Muniz diselamatkan Syazwan Andik di atas garisan.

Seminit kemudian giliran T. Saravanan pula melakukan percubaan untuk mengancam gawang JDT tetapi rembatan dari jarak jauhnya walaupun gagal ditangkap kemas Ahmad Syihan Hazmi masih dapat diselamatkan dengan baik penjaga gol tersebut.

Kem Sri Pahang  terlebih dahulu melonjak kegembiraan pada minit ke-13 apabila percubaan susulan Saravanan berjaya membolosi gawang JDT untuk meletakkan skuad Tok Gajah dihadapan.

Berpunca daripada tandukan awal Aleksandar Cvetkovic ketika situasi sepakan penjuru ditepis keluar Syihan, Saravanan yang tidak dikawal pertahanan JDT pantas melakukan percubaan untuk gol pembukaan perlawanan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, JDT memperkemaskan aksi dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-25.

Bagaimanapun, jaringan Bergson da Silva dibatalkan kerana beliau dikesan berada dalam keadaan ofsaid.

Aksi lebih panas ketika memasuki minit ke-34 selepas Sergio Aguero diperintahkan keluar padang setelah pemain naturalisasi n negara itu mendapat kad kuning kedua ekoran tindak balas dilakukannya terhadap Bergson.

Jaringan yang dinantikan JDT hadir pada minit ke-54 apabila Bergson tidak mensia-siakan peluang terhidang untuk menyudahkan sepakan penalti bagi kembali menyamakan kedudukan.

Sepakan penalti itu diberikan selepas pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali membuat semakan Video Assistant Referee (VAR) yang mendapati Azrif Nasrulhaq mengasari Oscar Arribas dalam kawasan penalti.

Hanya tiga minit berselang, JDT pula kehilangan pemain selepas Park Jun Heong dilayangkan kad kuning kedua setelah beliau mencederakan Mykola Ahapov.

Insiden tersebut tidak langsung mengganggu rentak JDT untuk memburu jaringan dan terus memberikan tekanan ke kubu Sri Pahang.

Arif Aiman Mohd Hanapi muncul wira pasukannya pada minit ke-73 selepas percubaan kaki kirinya dalam kawasan penalti gagal diselamatkan penjaga gol, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin sekali gus menghadiahkan kejuaraan Piala Malaysia 2025 buat JDT.

Sri Pahang seharusnya tidak terlalu kecewa dengan kekalahan ini kerana skuad kendalian Fandi Ahmad itu bermain dengan cukup baik dalam usaha memberikan saingan sengit buat JDT.