Akibat daripada kandungan dan komen yang dianggap menghina agama Islam di Facebook, pelawak Harith Iskander dan Cecelia Yap masing-masing dikenakan kompaun RM10,000.

MCMC memaklumkan bahawa tindakan tersebut dapat diambil setelah mendapat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara.

“Tindakan kompaun itu akan dikenakan ke atas Harith Iskander dan Cecelia Yap di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari lalu,” katanya.

Selepas menerima permintaan daripada MCMC, Meta mengambil tindakan dengan memadamkan kandungan yang bertentangan dengan garis panduan komuniti Facebook.

Malah, MCMC memaklumkan yang permohonan penutupan akaun Facebook milik kedua-dua individu terbabit sudah pun dilakukan dan sedang diteliti oleh pihak Meta.

Sebelum ini, Cecelia Yap, yang dikritik kerana hantaran yang dianggap menghina agama Islam berkaitan isu ‘ham’, telah memohon maaf secara terbuka.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh firma guamannya, Saibullah MV Nathan dan Co, Cecelia Yap menyatakan rasa kesalnya yang mendalam terhadap kenyataan sensitif yang disiarkan di media sosial.

Harith Iskander, 54, pula dituduh memuat naik hantaran di Facebooknya dengan gambar secawan kopi yang dinamakan ‘hamsap kopi’ dan berharga RM5.50.