Isu kemurungan bukanlah satu perkara yang boleh diambil remeh di kalangan rakyat Malaysia. Baru-baru ini Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mendedahkan Wilayah Persekutuan merekodkan masalah kemurungan dan anxiety tertinggi tahun lalu.

Dr Zaliha berkata, dapatan itu diperoleh berdasarkan saringan membabitkan 336,900 penduduk di seluruh negara yang dilaksanakan pada tahun lalu.

Baca Juga:

Antara beberapa faktor utama yang menyumbang kepada masalah kemurungan di Wilayah Persekutuan ialah kos sara hidup tinggi, miskin bandar, masalah perhubungan dengan ibu bapa dan rakan sebaya.

“Pada 2022, kita menjalankan saringan keseluruhan membabitkan 336,900 dan dalam keputusan itu, kita dapati negeri tertinggi alami masalah kemurungan dan anxiety ialah di Wilayah Persekutuan, orang Wilayah Persekutuan banyak masalah.

“Seperti diketahui ramai golongan B40 di Wilayah Persekutuan selain masalah perhubungan contohnya tekanan dari ibu bapa yang mahu anaknya menjadi menteri, kasihan anak-anak jadi tertekan,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau memberi jawapan tersebut bagi soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang ingin tahu negeri mana mempunyai kes tertinggi masalah gangguan mental di negara ini.