Semakin ramai ibu bapa Melayu mendaftarkan anak mereka ke sekolah rendah vernakular Cina (SJKC) disebabkan reputasi akademik yang kukuh, lapor Free Malaysia Today.
Keputusan adalah daripada hasil satu kajian terkini oleh Institut ISEAS-Yusof Ishak.
Baca Juga:
Berdasarkan tinjauan dalam aplikasi yang melibatkan 929 responden, kebanyakannya daripada keluarga Melayu kelas pertengahan, kajian tersebut mendapati bahawa 69% responden menyatakan prestasi akademik sebagai sebab utama mereka memilih sekolah cina.

“Ibu bapa meletakkan ‘reputasi akademik’ sebagai faktor paling penting dalam pemilihan sekolah untuk anak-anak mereka, manakala faktor paling kurang penting ialah bahasa pengantar,” kata penganalisis politik dan felo jemputan, James Chai, yang menulis laporan tersebut untuk institusi penyelidikan berpangkalan di Singapura itu.
“Lokasi dan disiplin dianggap lebih penting berbanding kemudahan sekolah,” katanya.
Chai menambah bahawa walaupun SJKC hanya menawarkan kemudahan asas, dua pertiga daripada ibu bapa masih memilihnya berbanding sekolah kebangsaan.
Pilihan itu berkemungkinan mencerminkan persepsi yang semakin merosot terhadap kualiti akademik di sekolah kebangsaan dalam kalangan ibu bapa Melayu.
Masih pilih sekolah kebangsaan jika akademiknya lebih baik daripada SJKC

Kajian itu juga mendapati bahawa ramai ibu bapa akan memilih sekolah kebangsaan sekiranya ia mempunyai reputasi akademik yang lebih baik berbanding SJKC — walaupun SJKC mungkin mempunyai disiplin yang lebih baik, kemudahan yang lebih lengkap, dan terletak lebih dekat dengan rumah.
Menurutnya lagi, peningkatan kemasukan pelajar bukan Cina ke SJKC yang dilaporkan meningkat daripada hanya 3%–6% pada tahun 1990-an kepada hampir 20% menjelang tahun 2020.

Sementara bilangan murid Cina terus menurun disebabkan perubahan demografi dan pertumbuhan sekolah antarabangsa swasta, manakala banyak sekolah cina sedang menyesuaikan diri untuk kekal relevan.
Penyesuaian itu termasuklah penyediaan makanan halal, kelas agama Islam, serta komunikasi dwibahasa bagi memenuhi keperluan pelajar yang lebih pelbagai.