Baru-baru ini, seorang ibu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial selepas berkongsi rasa tidak puas hatinya apabila anaknya mendermakan kesemua duit Raya ke tabung masjid.
Situasi yang sepatutnya menjadi ‘pengurusan kewangan’ kepada anaknya, bertukar menjadi luahan marah dan sindiran terhadap tindakan anak tersebut yang dianggapnya sebagai “tidak bertanggungjawab” dan “peak Gen Z – buat amal guna duit orang lain.”
Dalam perkongsian di Threads, ibu itu menulis, “Hari ini saya tanya secara santai apa rancangan dia dengan duit Raya. Dia jawab, ‘Saya dah masukkan dalam tabung masjid.’”
Reaksi si ibu? “Kau sepatutnya tolong orang miskin, bukan jadi macam mereka. Bangun dan sedarlah tentang bil-bil yang perlu dibayar,” katanya dengan nada kecewa.
Jika niatnya berkongsi untuk mendapat sokongan ramai, nampaknya si ibu salah langkah.
Duit Raya Derma Kepada Masjid: Reaksi Netizen
Majoriti netizen menyerang balik kenyataan itu dengan nada tegas, ada yang mempertikaikan beliau, dan ramai yang menganggap tindakan si anak itu sebagai satu contoh didikan murni yang patut dibanggakan.
“Kalau saya jadi mak budak ni, saya akan bangga.” kata seorang pengguna.
“Bayangkan anak sekecil itu sudah ada jiwa untuk beri, bukan simpan. It’s not wrong, it’s beautiful.”
Seorang lagi pula menyebut, “Dia tak join orang miskin, dia bantu. Charity bukan untuk orang kaya, derma tak kira umur dan latar belakang. Jangan hina anak sebab buat benda baik.”
Reaksi netizen kebanyakannya memuji nilai ikhlas dan kejujuran si anak dalam memberi.

Sebahagian pula menyatakan bahawa si ibu sepatutnya bersyukur kerana di era di mana kanak-kanak mudah terpengaruh dengan budaya materialistik, seorang budak kecil memilih untuk terus menderma tanpa fikir panjang — itu bukan kelemahan, itu kekuatan.